Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Indonesia longgarkan sekatan bendung COVID-19 sempena Ramadan

Sekatan-sekatan membendung pandemik COVID-19 di Indonesia dilonggarkan bagi masyarakat Islam negara itu menyambut bulan Ramadan kali ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia longgarkan sekatan bendung COVID-19 sempena Ramadan
Diterbitkan : 01 May 2021 08:49PM Dikemas Kini : 01 May 2021 08:58PM

JAKARTA: Sekatan-sekatan membendung pandemik COVID-19 di Indonesia dilonggarkan bagi masyarakat Islam negara itu menyambut bulan Ramadan kali ini.

Ini walaupun masih ada keprihatinan mungkin berlakunya gelombang baru jangkitan koronavirus tersebut.

Masjid terbesar di Asia Tenggara, Masjid Istiqlal yang terletak di tengah Jakarta, membuka semula pintunya selepas menjalani kerja-kerja ubah elok pertama sejak didirikan lebih 40 tahun lalu.

Lebih bermakna lagi, masyarakat Muslim di ibu kota Indonesia kini boleh menunaikan tarawih di masjid itu.

Pada Ramadan tahun lalu, beberapa wilayah di Indonesia mengenakan sekatan dan melarang solat berjemaah di masjid-masjid.

Tahun ini, bagaimanapun, masjid-masjid di zon hijau atau kawasan berisiko rendah COVID-19 dibenarkan membuka semula pintunya tetapi perlu memenuhi protokol kesihatan yang ketat.

Masjid-masjid di Indonesia juga dibenarkan beroperasi pada 50 peratus kapasiti sahaja.

Masjid Istiqlal, yang sebelum ini menyediakan hidangan berbuka kepada sekitar 5,000 orang setiap hari semasa Ramadan, kini tidak berbuat serupa bagi mencegah penularan COVID-19.

"Jadi jemaah yang mahu ke Istiqlal itu buka puasa di rumah kemudian datang ke Masjid Istiqlal pada waktu yang khusus. Setelah solat tarawih, pulang," jelas Timbalan Ketua Pentadbir Ibadah Masjid Istiqlal, Abu Hurairah Abdul Salam.

Tahun ini, masyarakat Islam Indonesia juga dibenarkan berbuka puasa di luar dengan restoran-restoran di Jakarta dibenarkan beroperasi hingga 10.30 malam dan juga pada 2.00 pagi hingga 4.30 pagi supaya orang ramai dapat bersahur.

Pemerintah Indonesia melonggarkan sekatan pada Ramadan ini kerana keadaan COVID-19 yang bertambah baik.

Jumlah purata kes harian COVID-19 di Indonesia merosot dengan stabil dan hospital tidak lagi dibebani dengan para pesakit koronavirus serta orang ramai sudah mula mendapatkan vaksin.

Sumber : CNA/RU/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan