Skip to main content

Dunia

Indonesia lancar kempen kumpul AS$200 juta untuk Palestin

Kementerian Luar Indonesia dengan kerjasama Majlis Ulama Indonesia (MUI) dan Badan Amil Zakat Nasional (Baznas) melancarkan kempen bagi mengumpul AS$200 juta dalam bentuk bantuan kemanusiaan untuk Palestin, lapor agensi berita ANTARA.  

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia lancar kempen kumpul AS$200 juta untuk Palestin

Bangunan yang musnah di Jabalia, utara Carikan Gaza pada 17 Februari 2025. (Gambar: AFP/Bashar Taleb)

Diterbitkan : 27 Feb 2025 08:24AM Dikemas Kini : 27 Feb 2025 08:25AM
JAKARTA: Kementerian Luar Indonesia dengan kerjasama Majlis Ulama Indonesia (MUI) dan Badan Amil Zakat Nasional (Baznas) melancarkan kempen bagi mengumpul AS$200 juta dalam bentuk bantuan kemanusiaan untuk Palestin, lapor agensi berita ANTARA.  

Naib Menteri Luar Anis Matta pada majlis pelancaran kempen itu di Jakarta pada Rabu (26 Feb) menyuarakan keyakinannya untuk mencapai sasaran pengumpulan dana berkenaan sambil memaklumkan bahawa pertubuhan bukan pmerintah (NGO) setakat ini berjaya mengumpul jumlah itu.  

Kementerian itu bagaimanapun tidak menetapkan tempoh bagi pengumpulan dana, namun kempen berkenaan dijangka bermula pada Ramadan, dengan dana yang dikumpul diperuntukkan untuk bantuan kemanusiaan dan usaha pembangunan semula Gaza.

"Kami memulakannya pada Ramadan untuk dua program. Terdapat program kecemasan sekarang ketika tempoh gencatan senjata dan juga kemudian untuk program pembangunan semula Gaza selepas itu," kata Encik Matta.  

Beliau menjelaskan bahawa kempen itu, yang turut melibatkan puluhan institusi zakat dan kemanusiaan adalah hasil dialog sejak tiga bulan lalu bagi memulakan gerakan solidariti yang diselaraskan dengan usaha mengagihkan bantuan ke Palestin dengan tiga matlamat utama. 

"Yang pertama ialah program strategik, diikuti oleh program yang memberi impak, iaitu membawa manfaat kepada rakyat Palestin, manakala yang ketiga bersifat simbolik dengan mewakili kehadiran kami sebagai negara Islam terbesar di dunia," jelas beliau.  

Sementara itu, Ketua Baznas bagi Perancangan, Kajian dan Pembangunan Zainul Bahar turut melahirkan keyakinan terhadap pengumpulan dana itu.

Beliau turut memaklumkan bahawa Baznas berjaya mengumpul dana untuk Palestin berjumlah lebih Rp320 bilion (S$25.4 juta).

Daripada jumlah itu, Rp200 bilion (S$16 juta) akan diagihkan untuk pendidikan, pembinaan hospital dan perumahan di Gaza.  
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita