Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Indonesia kesan kes pertama varian COVID-19 XBB dalam kalangan masyarakat

Anggaran Waktu Membaca:
 Indonesia kesan kes pertama varian COVID-19 XBB dalam kalangan masyarakat

Gambar Hiasan, Jakarta, Indonesia. (Gambar: Bay Ismoyo/AFP)

JAKARTA: Indonesia mengesan kes pertama varian Omicron XBB dalam kalangan masyarakat.

Pihak berkuasa Indonesia menasihatkan orang ramai agar mematuhi protokol kesihatan terutama sekali memakai pelitup dan mengambil suntikan dos penggalak.

Kes pertama yang dikesan disebabkan subvarian XBB adalah seorang wanita berumur 29 tahun yang tinggal di Surabaya, Jawa Timur. Beliau mempunyai sejarah melakukan perjalanan ke Lombok, Nusa Tenggara Barat.

Demikian menurut jurucakap Kementerian Kesihatan Indonesia, Mohammad Syahril pada Sabtu (22 Okt).

Beliau menunjukkan gejala termasuk deman, selesema dan batuk. "Beliau melalui pemeriksaan dan disahkan positif pada 26 September," kata beliau.

Pesakit itu kemudian diasingkan di Surabaya dan disahkan negatif COVID-19 pada 3 Oktober.

Sepuluh kontak rapat dikenal pasti oleh pihak berkuasa kesihatan dan kesemua mereka disahkan negatif COVID-19.

Dr Syahril menarik perhatian bahawa subvarian XBB menyebabkan jumlah jangkitan COVID-19 meningkat di Singapura dan menyebabkan kenaikan jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital.

Sekalipun demikian, beliau berkata meskipun XBB sangat mudah berjangkit, kadar kematian tidak melebihi varian Omicron yang lain.

Indonesia melaporkan 2,087 kes baru COVID-19 pada Sabtu (22 Okt) membawa jumlah keseluruhan jangkitan kepada 6.47 juta.

Lapan belas kes kematian dilaporkan dalam masa 24 jam yang lalu dan membawa jumlah keseluruhan kematian akibat COVID-19 di Indonesia kepada 158,416.

Menteri Kesihatan, Budi Gunadi Sadikin berkata pada Jumaat (21 Okt) bahawa kenaikan dalam jumlah kes COVID-19 dijangkakan pada Januari hingga Februari.

Dr Syahril menasihatkan orang ramai agar mengambil suntikan penggalak untuk mengurangkan risiko jangkitan teruk ataupun kematian.

Kes subvarian XBB yang disahkan itu muncul selepas rakyat Indonesia berdepan dengan masalah mendapatkan suntikan vaksin kerana pusat vaksinasi mengenakan kuota jumlah suntikan yang diberikan, lapor media tempatan Indonesia.

Beberapa pusat vaksinasi juga terpaksa ditutup buat sementara waktu.

Pihak berkuasa Indonesia menyatakan masalah tersebut disebabkan kekurangan vaksin dan mendedahkan akan menyelesaikan masalah itu menjelang hujung bulan ini.

Sebagai respons untuk mengesan varian baru itu, pihak berkuasa Indonesia sudah mempertingkatkan kawalan sempadan dan pemeriksaan di pintu masuk bagi rakyat Indonesia dan warga asing dari luar negara.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan