Indonesia kesan 1,437 titik panas, jerebu rentas sempadan merebak ke negara jiran
Sebanyak 1,437 titik panas dikesan di seluruh Indonesia ketika kebakaran hutan dan tanah terus berlaku di beberapa kawasan, khususnya Kalimantan, sedang jerebu rentas sempadan merebak ke negara jiran.
Kalimantan Tengah mencatat jumlah tertinggi dengan 689 titik panas setakat malam Isnin (14 Sep), diikuti Kalimantan Barat dengan 203. (Gambar fail: REUTERS)
- Indonesia mengesan 1,437 titik panas akibat kebakaran hutan, dengan Kalimantan Tengah paling terjejas setakat 14 September.
- Usaha pemadaman melibatkan 53 pesawat, termasuk helikopter dari Jepun, serta operasi pembenihan awan dan pasukan darat.
- Jerebu rentas sempadan kini menjejas Malaysia dan Singapura, dengan bacaan IPU tidak sihat di banyak kawasan.
- Agensi seperti NEA dan ASMC melaporkan asap sederhana hingga tebal dari Kalimantan bergerak ke arah negara jiran, menjejaskan mutu udara.
Pegawai Kementerian Perhutanan Indonesia Lusiana Martapuri berkata Kalimantan Tengah mencatat jumlah tertinggi dengan 689 titik panas setakat malam Isnin (14 Sep).
Ia diikuti Kalimantan Barat dengan 203 titik panas, Sumatra Selatan 116, Kalimantan Selatan 112 dan Jambi di Sumatra dengan sembilan.
Pemantauan terkini pula tidak mengesan sebarang titik panas di Riau.
Operasi pemadaman kebakaran kini tertumpu di Kalimantan, khususnya Kalimantan Tengah dan Kalimantan Barat.
Menurut Cik Lusiana, mutu udara di Indonesia secara keseluruhannya berbeza-beza, dengan kebanyakan kawasan berada pada paras baik hingga sederhana.
Namun, beberapa kawasan di Sumatra dan Kalimantan masih mencatat mutu udara pada paras tidak sihat hingga sangat tidak sihat, malah berbahaya di sesetengah kawasan.
53 PESAWAT DIKERAH
Dalam usaha memadamkan kebakaran, sebanyak 53 pesawat masih dikerahkan, termasuk 34 bagi operasi penyiraman air dari udara dan 19 untuk rondaan udara.
Operasi pembenihan awan turut dijalankan.
Usaha dari udara juga diperkukuh dengan tiga helikopter CH-47 Chinook dari Jepun bagi membantu operasi memadam kebakaran.
Pasukan darat juga masih meneruskan usaha memadamkan kebakaran, mencegah api daripada merebak, memadamkan sisa bara serta menyejukkan kawasan terjejas.
Jerebu rentas sempadan daripada Indonesia kini turut menjejas negara-negara jiran.
Di Malaysia, 38 kawasan mencatat bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada paras tidak sihat setakat 9.00 pagi Selasa (15 Sep).
Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) pula melaporkan jerebu rentas sempadan pada tahap sederhana di Semenanjung Malaysia dan Singapura.
Di Singapura, kesemua lima kawasan mencatat mutu udara pada paras tidak sihat pada sebelah pagi.
Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menyatakan kepulan asap sederhana hingga tebal daripada kebakaran di Kalimantan dikesan bergerak ke arah Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.