Indonesia kerah jet pejuang dalam pertikaian dengan China
Angkatan udara Indonesia mengerahkan empat jet pejuang ke Laut China Selatan pada Selasa (7 Jan) dalam pertikaian dengan Beijing selepas Jakarta membantah pencabulan China di zon ekonomi eksklusifnya.
Gambar fail Presiden Joko Widodo memeriksa aset-aset tentera udara Indonesia semasa latihan di Natuna pada 2016 (Gambar: Reuters/Beawiharta)
JAKARTA: Angkatan udara Indonesia mengerahkan empat jet pejuang ke Laut China Selatan pada Selasa (7 Jan) dalam pertikaian dengan Beijing selepas Jakarta membantah pencabulan China di zon ekonomi eksklusifnya.
Pertikaian bermula pada pertengahan Disember apabila kapal pengawal pantai China, yang mengiringi bot-bot nelayan China, memasuki perairan dekat pesisir kepulauan Natuna di utara Indonesia, yang menyebabkan Jakarta memanggil duta besar Beijing.
Isu tersebut mengeruhkan hubungan baik sebelum ini antara Indonesia dengan China. China adalah rakan perdagangan terbesar dan pelabur utama di Indonesia.
Fajar Adriyanto, jurucakap tentera udara, berkata empat jet F-16 melakukan penerbangan ke pulau-pulau tersebut, namun beliau cuba meredakan sebarang kebimbangan akan berlaku konfrontasi dengan Beijing.
"Mereka melakukan rondaan biasa untuk melindungi kawasan kedaulatan kami. Secara kebetulan mereka melakukan rondaan di Natuna," kata Encik Adriyanto. "Kami tidak diberi perintah untuk memulakan peperangan dengan China."
Laut China Selatan adalah laluan perdagangan global kaya dengan kawasan perikanan dan sumber tenaga dan China menuntut hak ke atas kebanyakan kawasan itu berdasarkan apa yang dikatakannya adalah kegiatannya sejak dahulu lagi. Namun negara-negara Asia Tenggara, yang disokong Amerika Syarikat dan kebanyakan negara di dunia, menyatakan tuntutan tersebut tidak berasaskan undang-undang.
Pada Isnin, Indonesia mengumumkan telah menghantar nelayan-nelayan ke daerah Natuna di utara dan mengerahkan beberapa kapal angkatan laut.
TANGGUNGJAWAB BERSAMA
Jurucakap Kementerian Luar China, Geng Shuang berkata pada Selasa Beijing sudah "membuka saluran diplomatik" dengan Indonesia sejak insiden terbaru itu dan berkata "kedua-dua negara bertanggungjawab untuk menjaga keamanan dan kestabilan serantau".
Tiada sebarang rundingan dibuat dengan kapal-kapal China sehingga Selasa, kata Nursyawal Embun, pengarah operasi laut Agensi Keselamatan Maritim Indonesia, kepada Reuters.
Luhut Pandjaitan, menteri penyelaras dalam kabinet Indonesia yang bertanggungjawab ke atas sumber dan pelaburan, memberitahu para wartawan pada Selasa bahawa Indonesia tidak akan bertolak ansur dalam isu kedaulatan, meskipun China penting untuk ekonomi negaranya.
"Saya tidak akan menggadaikan kedaulatan kami untuk pelaburan, tidak," katanya. "Saya tidak bodoh."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.