Skip to main content

Dunia

Indonesia kekal 'selamat' di tengah spekulasi kekacauan, penyebaran maklumat palsu online: Menteri

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia kekal 'selamat' di tengah spekulasi kekacauan, penyebaran maklumat palsu online: Menteri

Menteri Penyelaras Ehwal Politik dan Keselamatan, Djamari Chaniago berucap di sidang media di Jakarta pada 5 Ogos 2026. (Gambar: Facebook/Kemenko Polkam RI)

Diterbitkan : 06 Aug 2026 06:36PM
JAKARTA: Keadaan keselamatan dalam negeri Indonesia kekal stabil dan terkawal menjelang sambutan Hari Kemerdekaan minggu depan, kata Menteri Penyelaras Ehwal Politik dan Keselamatan, Djamari Chaniago, sambil menggesa orang ramai agar tidak terpengaruh dengan "maklumat palsu" yang tular online mengenai kemungkinan berlakunya kekacauan.

"Keadaan dalam negeri kekal selamat dan terkawal sepenuhnya. Kami tidak leka dan terus memantau semua perkembangan," kata Encik Djamari seperti yang dipetik oleh media tempatan Jakarta Post dalam satu sidang media pada Rabu (5 Ogos).

Menteri itu membuat gesaan tersebut menyusuli kajian oleh penyelidik dari Universiti Monash Indonesia yang mendapati video tunjuk perasaan terdahulu di negara itu disebarkan semula online, berkemungkinan sebagai kempen maklumat palsu.

Menurut Jakarta Post, Encik Djamari berkata pada Rabu bahawa terdapat kenaikan jumlah catatan di media sosial yang mengandungi dakwaan belum disahkan bahawa tunjuk perasaan berskala besar akan tercetus pada tarikh-tarikh tertentu bulan ini. Ini menimbulkan kebimbangan berulangnya kekacauan berdarah seperti tahun lalu yang berpunca daripada isu ekonomi dan lain-lain.

Menteri keselamatan itu berkata video-video berkenaan, yang merangkumi klip lama tunjuk perasaan pada tahun 2025 , tidak mencerminkan keadaan semasa di Indonesia.

Media tempatan seterusnya melaporkan bahawa video-video tersebut ditayangkan seolah-olah ia kejadian baharu, di samping dakwaan online yang tidak disahkan bahawa pertubuhan media utama negara itu sengaja memboikot atau mengabaikan tunjuk perasaan tersebut.

Sepanjang minggu lalu, pusat belah-belah dan bangunan pejabat di beberapa bandar di Indonesia memasang penghalang besi sebagai langkah berjaga-jaga terhadap kemungkinan berlakunya tunjuk perasaan. Sekalipun demikian, Gabenor Jakarta Pramono Anung kemudiannya memberi jaminan kepada pihak perniagaan dan orang awam bahawa ibu negara Indonesia itu kekal selamat.

Menyokong kenyataan itu, Encik Djamari berkata kehidupan seharian di seluruh negara berjalan seperti biasa, dengan aktiviti perniagaan, perkhidmatan awam dan pusat belah-belah beroperasi tanpa sebarang gangguan.

Beliau menambah bahawa ketidaktentuan global terus memberi kesan kepada negara-negara di seluruh dunia termasuk Indonesia, namun pemerintah sedang berusaha untuk mengurangkan kesannya ke atas orang awam dan memastikan program-program pemerintah dapat diteruskan tanpa gangguan.
Related article image
Pagar besi tinggi dipasang di luar pusat belah-belah Kota Kasablanka di Jakarta. (Gambar: Threads/nvtnde)
Semasa sidang media yang turut dihadiri Panglima TNI Agus Subiyanto dan Ketua Polis Negara Listyo Sigit Prabowo, Encik Djamari berkata pemerintah sudah memantau penyebaran berita dan maklumat palsu di media sosial, termasuk catatan dan video yang menunjukkan gambaran palsu seolah-olah berlaku tunjuk perasaan ganas di negara itu.

"Kami akan mengenal pasti akaun-akaun yang terlibat. Jika ada petunjuk bahawa tindakan mereka merupakan satu kesalahan jenayah, kami akan mengambil tindakan undang-undang yang tegas," katanya.

Encik Djamari memberi amaran bahawa pihak polis akan menguatkuasakan undang-undang "tanpa kompromi", sambil menggesa orang ramai agar tidak beralih perhatian disebabkan maklumat yang tidak disahkan menjelang sambutan Hari Kemerdekaan pada 17 Ogos.

Encik Listyo berkata persiapan keselamatan sedang ditingkatkan menjelang sambutan tersebut dan pihak polis bekerjasama dengan kementerian berkaitan serta pihak berkuasa daerah untuk mengekalkan keselamatan dan kestabilan.

"Kami berterusan bekerjasama bagi memastikan semua acara menjelang sambutan 17 Ogos, termasuk siri program yang dianjurkan pemerintah, dapat berjalan dengan selamat dan lancar," kata Encik Listyo seperti yang dipetik oleh Jakarta Post.

Sepanjang minggu lalu, pusat belah-belah dan bangunan pejabat di Jakarta, Surabaya, Yogyakarta dan Surakarta memasang pagar besi tinggi di sekeliling premis mereka berikutan spekulasi mengenai kemungkinan berlakunya tunjuk perasaan. Sesetengah penghalang itu mencapai ketinggian antara 2 meter hingga 5 meter dan dipasang tajam di bahagian atas, lapor portal berita Kompas.

Sesetengah pagar tersebut sudah pun ditanggalkan sejak itu.

Tunjuk perasaan pada Ogos 2025 sebelum ini memaksa beberapa pusat belah-belah ditutup sementara selepas tunjuk perasaan bertukar menjadi ganas di beberapa bandar Indonesia.

Kekacauan itu semakin memuncak selepas seorang pemandu teksi motosikal ojek maut dilanggar kenderaan polis semasa tunjuk perasaan di Jakarta. Beberapa orang terkorban dan lain-lain tercedera, dengan anggaran kerugian mencecah berbilion rupiah.
Related article image
Penunjuk perasaan di luar ibu pejabat Kor Briked Mobil (Brimob) Jakarta pada 29 Ogos 2025 selepas insiden maut di mana kenderaan pegawai polis melanggar pemandu teksi motosikal. (Gambar Fail: CNA/Ridhwan Siregar)
KEMUNGKINAN KEMPEN MAKLUMAT PALSU

Secara berasingan, analisis oleh penyelidik Universiti Monash Indonesia yang dipetik oleh pelbagai media tempatan mendapati bahawa penyebaran catatan terpakai mengenai tunjuk perasaan lalu yang disajikan sebagai kejadian semasa merupakan satu langkah terancang dan tidak berlaku secara semula jadi.

Kajian itu menganalisis kira-kira 197,000 catatan di media sosial antara 26 Julai hingga 1 Ogos yang mengandungi kata kunci seperti "demonstrasi", "aksi", "mahasiswa", "video" dan "liputan", serta mendapati corak catatan semula yang bukan biasa.

Sesetengah akaun juga didapati memuat naik semula kandungan pada kelajuan yang menurut kajian itu sukar dicapai oleh manusia secara manual. Ini menunjukkan kemungkinan penggunaan alatan automatik, skrip, atau sistem catatan secara pukal untuk meningkatkan interaksi.

Para penyelidik turut mengenal pasti beberapa corak yang berulang dalam catatan media sosial tersebut - termasuk apa yang mereka sifatkan sebagai rasa cemas dan sengaja membesarkan skala tunjuk perasaan itu.

Sebagai contoh, kebanyakan catatan ini bermula dengan frasa seperti "DEMONSTRASI HARI INI", "DALAM BEBERAPA HARI INI", "KECEMASAN", yang ditulis dalam huruf besar, lapor Detik berasaskan kajian berkenaan.

Tunjuk perasaan yang didakwa itu juga ditunjukkan seolah-olah berlaku secara "besar-besaran", "berlaku di mana-mana" atau "berlangsung serentak di seluruh Indonesia".

Ika Idris, salah seorang penyelidik, memberi amaran bahawa penyebaran catatan mengelirukan online mengenai tunjuk perasaan jalanan berisiko mengaburkan jurang antara maklumat sahih dan kandungan yang dimanipulasi. Beliau menarik perhatian bahawa ini berpotensi menjejaskan kewibawaan gerakan tunjuk perasaan yang sebenar, sambil menguatkan dakwaan bahawa tunjuk perasaan tersebut didalangi.

"Dalam keadaan ini, mangsa terbesar bukanlah mana-mana kumpulan politik tertentu, tetapi keupayaan orang awam untuk membezakan apa yang benar dan apa yang palsu," katanya seperti dipetik oleh Detik.
Sumber : Agensi berita/NK/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita