Indonesia kaji semula sesi pembelajaran secara fizikal susuli lonjakan kes COVID-19
Angka kes harian COVID-19 dilaporkan terus meningkat di sekolah-sekolah di Indonesia. Ini mengakibatkan pihak berkuasa melancarkan penilaian menyeluruh terhadap sesi pembelajaran secara fizikal di sekolah (PTM).
JAKARTA: Angka kes harian COVID-19 dilaporkan terus meningkat di sekolah-sekolah di Indonesia. Ini mengakibatkan pihak berkuasa melancarkan penilaian menyeluruh terhadap sesi pembelajaran secara fizikal di sekolah (PTM).
Presiden Joko Widodo meminta pihak berkuasa di tiga wilayah iaitu Banten, Jakarta dan Jawa Barat yang mencatatkan bilangan kes tertinggi untuk menilai pelaksanaan PTM.
Encik Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi meminta penilaian itu dibuat ketika sesi mesyuarat secara maya di Kalimantan Timur pada Isnin (31 Jan).
Mesyuarat secara maya itu diadakan bagi membuat penilaian perintah kawalan pergerakan (PPKM).
"Saya ingin menekankan kes aktif telah meningkat... Kita mesti terus berwaspada," media memetik kata-kata beliau.
Indonesia melaporkan 16,021 kes baru COVID-19 pada Selasa (1 Feb), melonjak dari 274 kes pada 1 Januari, didorong oleh varian Omicron.
Sebanyak lima kematian dicatatkan akibat varian itu setakat ini.
Hampir sebulan selepas sesi persekolahan bermula di Jakarta, 98 sekolah di ibu negara telahpun ditutup selama lima hari kerana wabak berkenaan.
Gabenor Jakarta Anies Baswedan berkata pemerintah tempatan sedang memantau keadaan itu dan beliau tidak menolak kemungkinan sesi PTM digantung sementara jika warga sekolah berisiko tinggi dijangkiti virus tersebut.
Pada 3 Januari, Indonesia membuka semula 264,704 atau 59 peratus sekolah, melibatkan 33,497,256 pelajar dengan kapasiti 100 peratus di bawah syarat-syarat ketat.
Pihak berkuasa memutuskan tindakan berkenaan selepas 80 peratus guru sudah menerima dua dos vaksin dan 80 peratus pelajar telahpun menerima suntikan dos pertama manakala 58 peratus daripada mereka pula lengkap divaksin.
Penutupan sekolah ketika pandemik menyebabkan kebimbangan mengenai pembelajaran generasi COVID-19.
Ketika pemerintah di seluruh dunia menimbang risiko kesihatan membuka semula sekolah pada Disember tahun lalu, pengarah eksekutif UNICEF, Henrietta Fore, memberi amaran penutupan sekolah harus menjadi langkah terakhir meskipun varian Omicron sedang menular.
Selain ketinggalan pelajaran, beliau berkata kanak-kanak juga kehilangan persekitaran selamat di sekolah, interaksi harian dengan rakan-rakan, akses kepada penjagaan kesihatan dan hidangan berkhasiat mereka pada hari itu.
“Pemerintah harus meningkatkan pelaburan dalam liputan digital bagi memastikan tiada kanak-kanak tertinggal,” katanya dalam satu kenyataan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.