Indonesia ikut langkah negara-negara Islam lain, kutuk kenyataan hina Nabi Muhammad oleh pegawai BJP

(Gambar: Rafiq Maqbool/AP)
JAKARTA: Indonesia mengecam kenyataan kontroversi dua ahli politik India baru-baru ini yang didakwa menghina Nabi Muhammad.
"Indonesia mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan menghina Nabi Muhammad (saw) oleh dua ahli politik India.
“Indonesia turut memanggil Duta India di Jakarta dan menyerahkan surat bantahan berhubung perkara itu,” kata Kementerian Hal Ehwal Luar di akaun Twitter rasminya.
Indonesia bersama-sama Qatar, Kuwait, Iran, Arab Saudi dan negara Islam lain mengutuk kenyataan ahli politik parti pemerintah India baru-baru ini yang didakwa menghina Islam.
Parti pemerintah India, Parti Bharatiya Janata (BJP) pada Ahad menggantung jurucakapnya, Nupur Sharma yang didakwa membuat kenyataan menghina dalam debat televisyen dan Naveen Jindal atas komennya di media sosial.
Cik Sharma didakwa menghina Nabi Muhammad dan isterinya Aisha dalam debat televisyen Sabtu lepas (4 Jun), manakala rakan sekerjanya dipercayai memuat naik catatan di Twitter yang kini sudah dipadamkan, mencetus kemarahan di India.
“BJP mengecam sekeras-kerasnya penghinaan terhadap mana-mana personaliti mana-mana agama,” menurut kenyataan parti itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.