Skip to main content

Dunia

Indonesia ikrar teruskan pencarian 29 mangsa feri karam

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia ikrar teruskan pencarian 29 mangsa feri karam

Pihak berkuasa Indonesia berikrar untuk teruskan operasi SAR secara besar-besaran bagi mengesan 29 individu yang masih hilang. (Gambar: BERNAMA)

JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia berikrar akan meneruskan operasi mencari dan menyelamat secara besar-besaran bagi mengesan 29 individu yang masih hilang selepas sebuah feri penumpang karam di Selat Bali minggu ini.

KMP Tunu Pratama Jaya karam di Selat Bali pada lewat Rabu malam di perairan Ketapang, Banyuwangi, Jawa Timur, menyebabkan enam maut manakala 30 daripada 65 penumpang serta kru feri berjaya diselamatkan setakat ini.

“Kami tidak akan berhenti sehingga semua mangsa ditemui. Ini adalah tanggungjawab kemanusiaan yang tidak boleh ditinggalkan separuh jalan,” kata Menteri Pengangkutan Dudy Purwagandhi dalam kenyataannya.

Beliau berkata usaha pencarian diperkukuh dengan aset Tentera Laut Indonesia, termasuk kapal yang dilengkapi sonar yang mampu mengesan objek di bawah air pada kedalaman sehingga 400 meter.

Sebuah helikopter, penyelam tentera laut daripada unit pasukan khas dan pakar Pusat Hidro-Oseanografi turut dikerahkan.

Timbalan Ketua Operasi dan Kesiapsiagaan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) R. Eko Suyatno berkata lebih 10 kapal daripada tentera laut, polis dan agensi wilayah, bersama bot nelayan tempatan terlibat dalam operasi bersama itu.

Kawasan pencarian di laut diperluaskan sehingga radius 20 batu nautika di selatan lokasi feri dipercayai karam, manakala di darat, pasukan tentera, polis dan sukarelawan melakukan pencarian di kawasan pesisir pantai Banyuwangi.

“Dua buah helikopter sedang melakukan pemantauan dari utara ke selatan sebagai sebahagian daripada pencarian dari udara,” katanya.

Pihak berkuasa juga sedang bersiap sedia untuk kemungkinan operasi mengeluarkan mangsa dari dasar laut dengan 22 penyelam sudah menjalani pemeriksaan kesihatan dan peralatan tambahan turut disediakan di pelabuhan, tambahnya.

Punca kejadian feri karam masih dalam siasatan.
Sumber : Bernama/IM/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita