Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Indonesia harus 'cintai' barangan tempatan, kata Presiden Jokowi

Ini sedang beliau menggesa para pegawai supaya memfokuskan usaha untuk mencapai pertumbuhan ekonomi lima peratus tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia harus 'cintai' barangan tempatan, kata Presiden Jokowi

Gambar fail Presiden Joko Widodo. (Gambar: REUTERS/Soe Zeya Tun)

Diterbitkan : 04 Mar 2021 05:01PM Dikemas Kini : 04 Mar 2021 05:02PM

JAKARTA: Presiden Joko Widodo hari ini (4 Mac) berkata bahawa para pengguna warga Indonesia seharusnya didorong untuk "mencintai" jenama domestik dan "membenci" produk-produk asing.

Ini sedang beliau menggesa para pegawai supaya memfokuskan usaha untuk mencapai pertumbuhan ekonomi lima peratus tahun ini.

Berucap dalam mesyuarat Kementerian Perdagangan, Encik Jokowi menggesa industri-industri supaya menggunakan komponen-komponen tempatan daripada mengimportnya. Masyarakat perlu berbangga dengan produk-produk tempatan, ujar beliau.

Encik Jokowi menambah penjenamaan adalah penting dan jenama tempatan atau produk-produk perusahaan kecil dan sederhana (SME) mesti ditonjolkan di pusat-pusat beli-belah dan diberikan tempat terbaik untuk dipamerkan.

Jenama asing boleh dipamerkan di sampingnya, tambah Encik Jokowi.

"Kerana penduduk kita, penduduk Indonesia, lebih 270 juta orang. Kita harus menjadi pengguna setia bagi produk-produk kita sendiri," kata beliau.

"Seruan untuk mencintai produk kita sendiri mesti diteruskan... Juga, suarakan kebencian terhadap produk asing."

Beliau menambah: "Cintai barangan kita, benci produk luar negara. Supaya masyarakat kita akan menjadi pengguna setia produk Indonesia."

Kakitangan kementerian itu perlu kreatif dan inovatif berusaha merangsang pertumbuhan ekonomi, tambah Encik Jokowi.

"Sasaran pertumbuhan lima peratus seperti yang dinyatakan dalam belanjawan negara mesti dicapai. Sekali lagi, tahun 2021 adalah tahun pemulihan yang mesti berdasarkan semangat optimis.

"Lantaran itu, saya secara khusus meminta Kementerian Perdagangan jangan hanya bekerja seperti biasa. Mesti ada pencapaian kreatif. Mesti ada pencapaian inovatif," ujar Encik Jokowi.

Beliau juga berkata sektor perdagangan digital mesti dibangunkan.

"Indonesia tidak harus menjadi mangsa perdagangan digital yang tidak adil. Negara-negara lain sudah banyak mengalaminya dan kita tidak boleh menjadi mangsa perdagangan digital yang tidak adil," tegas presiden Indonesia itu.

Ekonomi Indonesia menguncup 2.07 peratus pada tahun lalu, iaitu kemerosotan pertama sejak krisis kewangan Asia pada 1998.

Bagaimanapun, Menteri Kewangan Indonesia Sri Mulyani berkata penguncupan itu bersifat sederhana berbanding negara-negara lain.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan