Skip to main content

Dunia

Indonesia harap dapat segera laksana laluan hijau timbal balik dengan S'pura: Presiden Jokowi

Indonesia berharap laluan hijau timbal balik bagi perjalanan penting dengan Singapura dapat dilaksanakan dengan segera, kata Presiden Indonesia Joko Widodo pada Selasa (1 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia harap dapat segera laksana laluan hijau timbal balik dengan S'pura: Presiden Jokowi

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 01 Sep 2020 09:58PM Dikemas Kini : 01 Sep 2020 10:00PM

JAKARTA: Indonesia berharap laluan hijau timbal balik bagi perjalanan penting dengan Singapura dapat dilaksanakan dengan segera, kata Presiden Indonesia Joko Widodo pada Selasa (1 Sep).

Bercakap kepada wartawan dari media asing, Encik Widodo melahirkan harapan bahawa laluan hijau itu akan dapat mengukuhkan hubungan dua hala, terutama sekali dalam sektor ekonomi dan perniagaan.

"Kami tahu Singapura adalah pelabur terbesar di Indonesia," kata Encik Widodo di istana presiden di Bogor.

Pada suku pertama 2020, Singapura merupakan pelabur asing utama di Indonesia, dengan pelaburan berjumlah AS$2.7 bilion (S$3.6 bilion), menurut data dari Lembaga Penyelarasan Pelaburan Indonesia.

Presiden Jokowi berkata laluan hijau itu juga akan merintis jalan bagi pelaburan masuk ke Indonesia. Beliau bagaimanapun tidak memberikan butiran aturan itu.

Singapura dan Indonesia dikatakan bersedia untuk mengadakan perbincangan mengenai laluan hijau timbal balik bagi membolehkan perjalanan penting disambung semula secara bertahap-tahap.

"Memandangkan hubungan perniagaan yang kukuh antara Singapura dengan Indonesia, kedua-dua Menteri Luar sudah menugaskan para pegawai untuk memulakan perbincangan mengenai "laluan hijau timbal balik" bagi membolehkan perjalanan penting disambung semula dengan cara yang dapat melindungi kesihatan dan keselamatan awam di kedua-dua negara," menurut Kementerian Ehwal Luar Singapura dalam satu kenyataan.

Buat masa ini, Singapura mempunyai aturan laluan hijau timbal balik bersama China, Malaysia dan Brunei.

Indonesia juga mempunyai aturan serupa dengan China, Korea Selatan dan Amiriah Arab Bersatu.

Para pemimpin Indonesia dan Singapura dijangka bertemu pada lewat tahun ini bagi retreat tahunan pemimpin; kali ini dengan giliran Indonesia menjadi tuan rumah.

Apabila ditanya keutamaan dalam agenda tersebut, Presiden Jokowi berkata terdapat dua isu utama yang beliau ingin membincangkan semasa retreat tersebut.

"Semuanya berkisar pada isu kesihatan dan ekonomi," katanya.

Ekonomi terbesar Asia Tenggara itu mengalami penguncupan sebanyak 5.32 peratus pada suku kedua 2020, sebahagian besar disebabkan oleh sekatan sosial bagi membendung pandemik COVID-19.

Pada Selasa, Encik Widodo berkata beliau menetapkan sasaran untuk mencapai pertumbuhan ekonomi lebih baik pada suku ketiga. Tambahnya, beliau berharap untuk melihat perkembangan positif pada suku terakhir tahun ini.

Beliau juga melahirkan rasa optimis bahawa dengan lebih banyak pelaburan di masa hadapan dan vaksin COVID-19 yang sedang dihasilkan, ekonomi Indonesia akan menikmati pertumbuhan positif pada tahun depan.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita