Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Indonesia haramkan jualan telefon bijak Google

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia haramkan jualan telefon bijak Google

Gambar: Google

Diterbitkan : 01 Nov 2024 06:30PM Dikemas Kini : 01 Nov 2024 06:31PM
JAKARTA: Indonesia menyatakan bahawa ia telah mengharamkan penjualan telefon bijak Google keluaran Alphabet.

Ini kerana peraturan negara itu mensyaratkan komponen-komponen dihasilkan dalam negeri, beberapa hari selepas ia menyekat penjualan iPhone 16 keluaran gergasi teknologi Apple atas sebab yang sama.

Indonesia menyekat penjualan telefon Google Pixel kerana syarikat itu tidak memenuhi peraturan yang memerlukan telefon bijak tertentu dijual di dalam negeri mengandungi sekurang-kurangnya 40% komponen yang dikeluarkan secara tempatan.

"Kami memperkenalkan peraturan ini supaya ada keadilan untuk semua pelabur di Indonesia," kata Febri Hendri Antoni Arief, jurucakap Perindustrian pada Khamis (31 Okt).

"Produk Google tidak mematuhi skim yang kami tetapkan, jadi ia tidak boleh dijual di sini."

Menurut Encik Febri, pengguna boleh membeli telefon Google Pixel di luar negara, selagi mereka membayar cukai yang diperlukan, sambil menambah negara itu sedang menimbangkan untuk tidak mengaktifkan telefon yang dijual secara haram.

Google tidak segera membalas kiriman mesej dan emel yang meminta pihaknya mengulas isu tersebut.

Sekatan itu diumumkan seminggu selepas Indonesia menyekat penjualan iPhone 16 di negara itu, juga kerana tidak mematuhi peraturan kandungan tempatan.

Syarikat-syarikat biasanya meningkatkan penggunaan komponen domestik untuk memenuhi peraturan tersebut melalui kerjasama dengan para pembekal tempatan atau dengan mendapatkan komponen dalam negeri.

Google dan Apple bukanlah antara pembuat telefon bijak utama di Indonesia. Dua pembuat telefon bijak utama pada suku pertama 2024 ialah firma China, Oppo dan firma Korea Selatan, Samsung, menurut firma penyelidikan IDC pada Mei.

Indonesia mempunyai jumlah penduduk yang ramai dan mahir teknologi, menjadikan negara Asia Tenggara itu sebagai pasaran sasaran utama untuk pelaburan berkaitan teknologi.

Bhima Yudhistira, pengarah Pusat Kajian Ekonomi dan Undang-Undang, berkata langkah itu perlindungan itu ibarat senjata makan tuan yang bukan sahaja menjejas pengguna, ia turut menjejas keyakinan pelabur.

"Ini mewujudkan sentimen negatif bagi pelabur yang ingin memasuki pasaran Indonesia," katanya.
Sumber : Reuters/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan