Skip to main content

Dunia

Indonesia hantar jumlah rekod petugas wanita untuk bantu jemaah Haji 2026

Kementerian Haji dan Umrah Republik Indonesia (Kemenhaj) selesai menjalankan program latihan bagi para petugas Haji pada Jumaat (30 Jan), di mana kumpulan itu juga termasuk jumlah rekod petugas Haji wanita untuk membantu para jemaah wanita dalam menunaikan ibadah Haji di Tanah Suci.
Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia hantar jumlah rekod petugas wanita untuk bantu jemaah Haji 2026
Petugas penyelenggara ibadah Haji. (Gambar: Kemenhaj)
Diterbitkan : 04 Feb 2026 07:59AM Dikemas Kini : 04 Feb 2026 08:00AM
  • Kementerian Haji dan Umrah Republik Indonesia mengadakan program latihan selama 20 hari di Jakarta Timur untuk lebih 1,600 petugas Haji, termasuk jumlah rekod petugas wanita.
  • Latihan ini bertujuan mempersiapkan petugas secara fizikal, mental dan teknikal menjelang musim Haji 2026, dengan sesi tambahan secara online pada Februari.
  • Lebih 500 petugas wanita akan dihantar, selaras dengan keperluan jemaah wanita dan warga emas yang membentuk majoriti peserta Haji Indonesia.
  • Peningkatan jumlah petugas wanita diharap dapat memastikan layanan lebih empati dan sesuai bagi isu berkaitan wanita, serta memperkukuh penyelarasan dan disiplin petugas.
Dijana oleh AI
JAKARTA: Kementerian Haji dan Umrah Republik Indonesia (Kemenhaj) selesai menjalankan program latihan bagi para petugas Haji pada Jumaat (30 Jan), di mana kumpulan itu juga termasuk jumlah rekod petugas Haji wanita untuk membantu para jemaah wanita dalam menunaikan ibadah Haji di Tanah Suci.

Sebagai negara dengan majoriti terbesar penduduk Muslim di dunia, Indonesia menghantar jumlah jemaah Haji paling ramai setiap tahun, dijangka meliputi 221,000 jemaah pada 2026.

Mereka akan dibantu oleh lebih 1,600 petugas Haji dari seluruh Indonesia yang tampil untuk mengambil bahagian dalam program latihan selama 20 hari di Jakarta Timur untuk mempersiapkan mereka bagi peranan itu, menjelang musim Haji pada Mei.

"Pendidikan dan latihan bagi petugas Haji Indonesia... dijalankan sebagai sebahagian daripada persiapan operasi bagi musim Haji 2026," kata Direktur Jenderal Bina Penyelenggaraan Haji dan Umrah, Kementerian Haji dan Umrah Republik Indonesia, Puji Raharjo semasa majlis penutup pada Jumaat.

"Program itu bertujuan untuk memastikan kesediaan fizikal, mental, teknikal dan organisasi para petugas dalam membimbing, memberi khidmat dan melindungi jemaah Haji Indonesia.”

Indonesia akan menghantar lebih 500 petugas Haji wanita pada 2026, iaitu jumlah terbesar setakat ini.

"Tahun ini, petugas wanita merangkumi kira-kira 33 peratus daripada kumpulan itu, iaitu tertinggi dalam sejarah pengurusan Haji di Indonesia," kata Menteri Pemberdayaan Perempuan dan Perlindungan Anak (PPPA) Arifatul Choiri Fauzi kepada para wartawan.

Memandangkan lebih 55 peratus jemaah Haji Indonesia adalah kaum wanita dan kebanyakan daripadanya adalah warga emas, para petugas wanita itu dapat bantu memastikan mereka diberi layanan dengan lebih berhati-hati dan empati, katanya lagi.

Cik Arifatul menambah: "Terdapat banyak perkara yang lebih sesuai dikendalikan oleh petugas wanita, perkara berkaitan isu-isu wanita, bantuan dalam bilik dan kecemasan yang melibatkan privasi jemaah (wanita)."

Program latihan itu yang dijalankan dari 10 hingga 30 Januari, bertujuan mempersiapkan para petugas secara fizikal dan membimbing mereka mengenai dasar dan mekanisme Haji sedia ada, di samping menjalankan kajian kes operasi dan pelajaran tentang komunikasi berkesan dan Bahasa Arab, serta simulasi situasi kehidupan sebenar yang berkaitan dengan ibadah Haji.

Para petugas Haji Indonesia akan menjalani satu lagi pusingan latihan secara online pada Februari, sebelum satu lagi sesi akan diadakan berkaitan dengan lokasi berlepas mereka di Indonesia.

"Setiap tahun, Indonesia menghantar jumlah jemaah paling ramai di dunia. Hakikat ini menuntut kita untuk benar-benar bersedia dan teratur dengan pegawai yang boleh diyakini. Para petugas haji menggalas peranan strategik, anda mewakili negara untuk jemaah, (dan) anda mewakili negara di hadapan dunia," kata Menteri Haji dan Umrah Republik Indonesia Mochamad Irfan Yusuf semasa berucap kepada kumpulan petugas Haji tahun ini.

"Latihan dan program bimbingan ini justeru adalah sangat penting, kerana di sinilah anda semua membuat persediaan untuk memahami sejauh mana tugas anda, mengukuhkan penyelarasan dan bersatu dalam perpaduan dan disiplin untuk misi yang akan datang.”
Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita