Indonesia hadkan penggunaan peranti semasa aktiviti pembelajaran di sekolah
Indonesia memperkenalkan dasar baharu yang mengehadkan penggunaan peranti semasa aktiviti pembelajaran di institusi pendidikan bagi menggalakkan penggunaan teknologi digital secara selamat, bertanggungjawab dan berteraskan pendidikan.
Menteri Pendidikan Dasar dan Menengah Republik Indonesia, Abdul Mu'ti, berkata langkah itu bukan bertujuan mengharamkan penggunaan peranti, sebaliknya mengawal selia penggunaannya supaya dapat dimanfaatkan dengan lebih berkesan dalam proses pembelajaran.
"Sekatan ini bukanlah satu larangan, tetapi bagi memastikan pelajar menggunakan teknologi digital, khususnya gajet, secara bijak, berhemah dan untuk tujuan pendidikan," katanya dalam kenyataan beliau yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Dasar dan Menengah.
Dasar tersebut diperkenalkan menerusi Surat Pekeliling Menteri Pendidikan Dasar dan Menengah Bilangan 18 Tahun 2026 mengenai Sekatan Penggunaan Gajet di institusi pendidikan, yang sudah diwartakan pada 13 Julai.
Kementerian itu menyelia pendidikan awal kanak-kanak, sekolah rendah, sekolah menengah rendah dan menengah atas, selain pendidikan vokasional, pendidikan khas serta program pendidikan penyetara sosial.
Menurut kementerian berkenaan, sekatan itu hanya dilaksanakan semasa aktiviti pembelajaran sebagai sebahagian daripada usaha melindungi kanak-kanak daripada pelbagai risiko yang berkaitan dengan teknologi digital.
Antaranya termasuk ketagihan digital, pendedahan kepada kandungan berbahaya, keganasan di alam maya, ancaman keselamatan siber serta masalah kesihatan fizikal dan mental.
Kementerian itu turut memaklumkan bahawa surat pekeliling tersebut bertujuan mewujudkan sekitaran pembelajaran yang selamat, meningkatkan tumpuan pelajar, mengukuhkan interaksi sosial serta memupuk budaya digital yang sihat dan bertanggungjawab.
Dasar itu turut menyokong pelaksanaan 'Gerakan 7 Kebiasaan Anak Indonesia Hebat', yang menggalakkan pembentukan nilai positif dalam kalangan pelajar.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.