Skip to main content

Dunia

Indonesia gesa Myanmar segera lulus pelantikan utusan ASEAN

Menteri luar Indonesia pada Isnin (2 Ogos) menggesa Myanmar agar segera meluluskan pelantikan seorang utusan khas Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN). Menurut Cik Retno Marsudi rancangan untuk membawa pihak-pihak di Myanmar ke meja rundingan tidak menunjukkan banyak kemajuan.

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia gesa Myanmar segera lulus pelantikan utusan ASEAN

Sekretariat ASEAN di Jakarta, Indonesia. (Gambar hiasan: AP/Tatan Syuflana)

Diterbitkan : 02 Aug 2021 08:35PM Dikemas Kini : 02 Aug 2021 08:50PM

JAKARTA: Menteri luar Indonesia pada Isnin (2 Ogos) menggesa Myanmar agar segera meluluskan pelantikan seorang utusan khas Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN). Menurut Cik Retno Marsudi rancangan untuk membawa pihak-pihak di Myanmar ke meja rundingan tidak menunjukkan banyak kemajuan.

Enam bulan setelah tentera Myanmar menumbangkan pemerintah yang diundi secara demokratik, menteri-menteri luar ASEAN bertemu secara maya pada Isnin (2 Ogos) untuk memuktamadkan pelantikan utusan khas ASEAN yang ditugaskan bagi menamatkan keganasan dan menggalak dialog antara junta tentera dengan lawan-lawan politiknya.

Bercakap kepada media melalui sidang video, Cik Retno Marsudi berkata kumpulan itu "tidak mencapai kemajuan yang besar" dalam melaksanakan pelan lima perkaranya untuk menghentikan pergolakan di Myanmar. Pelan tersebut diumumkan pada April.

Kelengahan itu "tidak membawa manfaat kepada ASEAN" dan jika terus gagal dilaksanakan, harus dirujuk kembali kepada para pemimpin untuk memberi arahan, kata beliau.

Myanmar dicengkam masalah keruntuhan ekonomi dan tunjuk perasaan yang terus memuncak berikutan tindakan keras lagi ganas oleh junta tentera serta isu pelarian besar-besaran sejak rampasan kuasa pada 1 Feb. Lonjakan kes jangkitan koronavirus membebani sistem kesihatannya, sekaligus memburukkan lagi krisis kemanusiaan sejak sebulan lalu.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan banyak negara lain seperti Amerika Syarikat dan China, menggesa ASEAN untuk menerajui usaha-usaha diplomatik demi mengembalikan kestabilan di Myanmar.

"Indonesia berharap Myanmar akan segera meluluskan saranan ASEAN bagi pelantikan seorang Utusan Khas," kata Cik Retno.

Menteri luar Indonesia itu berkata wakil kahas itu harus diberi kebebasan bergerak di Myanmar dan akses penuh kepada "berbilang pihak".

Cik Retno tidak menjelaskan siapa yang telah dipilih bagi mengisi jawatan itu, namun para diplomat memberitahu Reuters bahawa Menteri Kedua bagi Ehwal Luar Brunei, Erywan Yusof, menerima sokongan kuat menyandang jawatan tersebut.

Pemimpin tentera Myanmar, Min Aung Hlaing, dalam ucapannya pada Ahad berkata bahawa pihak rejim ingin mantan Timbalan Menteri Luar Thailand Virasakdi Futrakul dilantik sebagai utusan, tetapi "usulan baru dikeluarkan dan kami tidak dapat terus maju ke depan".

"Myanmar bersedia bekerjasama dengan ASEAN dalam rangka kerja ASEAN, termasuk dialog bersama utusan khas ASEAN di Myanmar," katanya.

Cik Retno juga berkata ASEAN harus segera menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada Myanmar, di samping mencari cara untuk mengongsi vaksin COVID-19.

"Kita tidak boleh berdiam diri dan membiarkan penderitaan rakyat Myanmar berterusan," kata beliau.  

Sumber : CNA/IH/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita