Skip to main content

Dunia

Indonesia gesa gabungan antarabangsa lebih luas sokong Palestin

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia gesa gabungan antarabangsa lebih luas sokong Palestin

Penduduk Palestin menyelamatkan barangan mereka dari runtuhan bangunan dan khemah yang musnah dalam serangan udara Israel di Gaza City pada 30 Julai 2026. (Gambar: AP/Jehad Alshrafi)

Diterbitkan : 06 Aug 2026 05:45PM
JAKARTA: Indonesia menggesa masyarakat antarabangsa membentuk gabungan yang lebih luas bagi menyokong Palestin, sambil menegaskan bahawa perjuangan rakyat Palestin bukan semata-mata isu yang melibatkan umat Islam.

Timbalan Menteri Luar Indonesia Arrmanatha Nasir menggesa masyarakat antarabangsa meninggalkan pendekatan lapuk dengan menegaskan bahawa dunia tidak boleh lagi membiarkan pelanggaran yang dilakukan Israel berterusan atau bertindak balas secara berpecah-belah.

"Perpecahan merupakan ruang yang sentiasa dimanfaatkan Israel," katanya ketika mewakili Menteri Luar Sugiono pada Mesyuarat Peringkat Menteri Mengenai Baitulmakdis di Amman, Jordan, pada Rabu (5 Ogos) waktu tempatan, menurut kenyataan Kementerian Luar Indonesia.

Bagi memperkukuh sokongan global terhadap Palestin, Indonesia mengemukakan lima langkah konkrit, termasuk merangka strategi bersama berasaskan perpaduan, mengambil tindakan bagi menegakkan undang-undang antarabangsa serta keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), selain memperluas pengiktirafan antarabangsa terhadap Palestin.

Langkah lain yang dicadangkan termasuk memperhebat usaha melindungi Masjid Al-Aqsa serta menyokong pembinaan semula Gaza, perpaduan nasional Palestin dan mandat Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA).

Beliau berkata landskap politik di Timur Tengah sudah berubah dengan ketara menyusuli peluasan petempatan haram Israel di Tebing Barat, operasi ketenteraan Israel di Gaza, Syria dan Lubnan, serta konflik antara Amerika Syarikat dan Iran yang memuncak, sekali gus menunjukkan perlunya tindak balas antarabangsa yang lebih bersatu terhadap isu Palestin.

Encik Arrmanatha turut menegaskan semula sokongan Indonesia terhadap Amanah Penjagaan Hashemite ke atas tapak suci di Baitulmakdis, termasuk Al Haram Al Sharif, serta penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka selaras dengan undang-undang antarabangsa.

Mesyuarat Peringkat Menteri Mengenai Baitulmakdis itu diadakan bagi memperkukuh tindak balas masyarakat antarabangsa terhadap tindakan Israel di wilayah Palestin, termasuk pelanggaran status quo di Baitulmakdis dan pekarangan Masjid Al-Aqsa.

Mesyuarat itu dihadiri menteri luar, timbalan menteri luar dan pegawai kanan dari Malaysia, Algeria, Arab Saudi, Iraq, Mesir, Turki, Tunisia, Somalia, Pakistan, Maghribi, Palestin dan Qatar, selain Setiausaha Agung Liga Arab.

Mesyuarat itu turut menerima pakai kenyataan bersama yang menyatakan sokongan terhadap usaha memperkukuh institusi Palestin di Baitulmakdis, menolak langkah sepihak untuk memindahkan misi diplomatik ke Baitulmakdis kerana melanggar undang-undang antarabangsa, serta menggesa kempen media yang diselaraskan bagi meningkatkan kesedaran mengenai tindakan Israel dan kesannya terhadap keamanan serta keselamatan serantau dan antarabangsa.
 
Sumber : Bernama/NK/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita