Indonesia gantung operasi pesawat Boeing 737 MAX 8
Pemerintah Indonesia menggantungkan buat sementara kesemua penerbangan pesawat jenis Boeing 737 MAX 8 milik syarikat penerbangan negara itu, mulai hari ini (12 Mac) sehingga pemeriksaan dilakukan.

Serpihan pesawat Ethiopian Airlines ET302 yang ditemui dekat bandar Bishoftu di bahagian tenggara Addis Ababa. (Gambar: Reuters)
JAKARTA: Pemerintah Indonesia menggantungkan buat sementara kesemua penerbangan pesawat jenis Boeing 737 MAX 8 milik syarikat penerbangan negara itu, mulai hari ini (12 Mac) sehingga pemeriksaan dilakukan.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin (11 Mac), Kementerian Perhubungan Indonesia menyatakan bahawa langkah itu diambil menyusuli kejadian terbaru yang melibatkan pesawat Boeing 737 MAX 8 milik Ethiopian Airlines yang terhempas pada Ahad (10 Mac), mengorbankan 157 orang.
Pesawat jenis sama milik Lion Air terhempas pada 29 Oktober 2018, mengorbankan 189 penumpang dan anak kapal, selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.
Menurut kementerian itu, pemeriksaan akan dijalankan mulai hari ini (12 Mac) dan kesemua pesawat itu tidak dibenarkan melakukan penerbangan sehingga mendapat kelulusan pengawal penerbangan.
Syarikat penerbangan Indonesia yang menggunakan pesawat jenis itu ketika ini adalah PT Garuda Indonesia dan PT Lion Air dengan sebanyak 10 pesawat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.