Skip to main content

Dunia

Indonesia didesak batal keahlian dalam Lembaga Keamanan susuli konflik Amerika Syarikat-Israel dengan Iran

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia didesak batal keahlian dalam Lembaga Keamanan susuli konflik Amerika Syarikat-Israel dengan Iran
Puluhan warga Indonnesia melakukan pemberontakan gesa pemerintah keluarkan Indonesia daripada Lembaga Keamanan yang diterajui Trump. (Gambar: Mediacorp)
New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 06 Mar 2026 07:53AM
JAKARTA: Badan agama, ahli akademik, dan kumpulan masyarakat sivil di Indonesia mendesak pemerintah untuk menyemak semula - atau membatalkan terus - keahliannya dalam Lembaga Keamanan (BoP) pimpinan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bagi usaha pembinaan semula Gaza, di tengah-tengah perang Amerika Syarikat-Israel terhadap Iran.

Majlis Ulama Indonesia (MUI) adalah antara pihak terawal yang menuntut agar Indonesia keluar daripada kumpulan tersebut menyusuli konflik yang berlaku.

"MUI mendesak pemerintah Indonesia untuk membatalkan keahliannya daripada BoP, kerana ia dianggap tidak berkesan dalam mencapai kemerdekaan sebenar bagi Palestin," katanya pada Ahad (1 Mac) dalam satu kenyataan media.

Merujuk kepada serangan Amerika Syarikat-Israel yang bermula pada 28 Februari, MUI menyatakan Indonesia, sebagai negara majoriti Muslim terbesar di dunia, tidak seharusnya dikaitkan dengan Amerika Syarikat melalui keahlian BoP, di mana Indonesia menjadi ahli pengasas pada 22 Januari di Davos.

Majlis itu turut mempersoalkan sama ada Amerika Syarikat menubuhkan BoP benar-benar untuk mewujudkan keamanan di Gaza.

“Amerika, yang memainkan peranan pusat dalam menguruskan konflik Palestin melalui BoP, berdepan persoalan besar: Adakah strategi ini benar-benar bertujuan mencapai keamanan hakiki atau sebenarnya mengukuhkan rangka keselamatan yang tidak adil dan menguburkan kemerdekaan Palestin?," tambah kenyataan itu.

Indonesia merupakan penyokong kuat perjuangan Palestin dan sudah lama mendesak huraian dua negara. Ia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.

Puluhan tokoh awam dan kumpulan masyarakat sivil juga menggesa Jakarta mempertimbangkan semula kedudukannya, dengan berhujah bahawa penyertaan berterusan berisiko menjejaskan dasar luar bebas Indonesia yang sudah lama diamalkan, yang dikenali sebagai dasar bebas dan aktif.

Terdapat juga pihak yang mengatakan Indonesia harus menangguhkan penghantaran tentera ke Gaza di tengah-tengah perang di Iran, yang sudah membalas dendam dengan menyerang pangkalan Amerika Syarikat di seluruh Teluk.

Bagaimanapun, beberapa penganalisis yang ditemu bual Mediacorp memberi amaran tentang kesan sekiranya Indonesia menarik diri daripada BoP.

“Indonesia perlu berhadapan dengan Amerika Syarikat yang mungkin tidak senang dengan keputusan itu,” kata Dinna Prapto Raharja, pengarah eksekutif badan pemikir Synergy Policies.

Indonesia bukan sekadar ahli lembaga tersebut. Pada mesyuarat pertama BoP pada 19 Februari di Washington, diumumkan bahawa negara kepulauan itu akan memegang peranan timbalan komander dalam Pasukan Pemantap Antarabangsa (ISF) selepas menerima tawaran daripada Amerika Syarikat bagi jawatan tersebut.

Presiden Prabowo Subianto, yang berada di Washington untuk mesyuarat itu, berkata beliau akan mengerahkan 8,000 anggota tentera ke Gaza sebagai sebahagian daripada ISF dalam tempoh dua bulan.

Buat masa ini, perbincangan mengenai BoP ditangguhkan kerana “semua perhatian sudah beralih kepada situasi Iran”, kata Menteri Luar Negeri Sugiono.

"Kami juga akan berunding dengan rakan-rakan di Teluk kerana mereka juga diserang," kata Encik Sugiono kepada wartawan pada Selasa tanpa memberikan butiran lanjut.

Beliau bercakap kepada media sejurus selepas mesyuarat yang diadakan oleh Encik Prabowo bersama bekas-bekas presiden, bekas dan naib presiden semasa, menteri-menteri, serta pemimpin parti politik untuk membincangkan pelbagai isu nasional dan global.

ADAKAH MISI LEMBAGA KEAMANAN ITU IKHLAS?

MUI, ahli akademik, dan masyarakat sivil yang ditemu bual CNA mempersoalkan sama ada BoP pimpinan Amerika Syarikat itu benar-benar akan memajukan kemerdekaan Palestin.

Ahli parlimen Dave Laksono berkata walaupun Encik Prabowo menyatakan 8,000 tentera akan dikerahkan ke Gaza, tarikh tepatnya masih belum ditentukan.

“Ketiadaan jadual rasmi mencerminkan pendekatan berhati-hati. Keselamatan anggota tentera, kewibawaan misi, dan sokongan awam adalah pertimbangan utama sebelum sebarang langkah konkrit diambil,” katanya.

Forum Purnawirawan Perwira Tinggi TNI (FPP-TNI) juga menyeru Indonesia keluar dari lembaga tersebut dan mendesak Encik Prabowo membatalkan rancangan penghantaran tentera ke Gaza.

Mereka berkata pada Selasa bahawa BoP berpotensi melanggar perlembagaan, prinsip pertahanan negara, serta prinsip dasar luar yang bebas dan aktif.

Pesara Jeneral Fachrul Razi menjelaskan pelibatan Indonesia dalam pasukan pemantap antarabangsa hanya boleh dilakukan di bawah mandat PBB dan bukan organisasi lain.

“Terutamanya dengan Lembaga Keamanan yang diketuai oleh jeneral Amerika. Ini benar-benar menyinggung perasaan rakan-rakan Palestin kita," katanya.

Sementara itu, seramai 65 tokoh awam dan 79 kumpulan masyarakat sivil mengeluarkan kenyataan mendesak pemerintah dan parlimen menilai semula perjanjian Indonesia dalam piagam BoP. Mereka berhujah bahawa BoP yang ditubuhkan di Davos bukanlah BoP yang dimandatkan oleh Ketetapan Majlis Keselamatan PBB 2803.

Mereka juga berkata serangan Amerika Syarikat-Israel di Iran melanggar undang-undang antarabangsa dan menjejaskan keamanan dunia.

“Oleh itu, Lembaga Keamanan sudah menjadi Lembaga Perang kerana BoP dipengerusikan dan didominasi oleh Donald Trump, yang melancarkan serangan tentera ke atas Iran,” menurut kenyataan itu.

BOLEHKAH INDONESIA KELUAR DARIPADA BoP?

Memandangkan situasi semasa di Timur Tengah, penganalisis berkata Indonesia sepatutnya boleh menarik diri daripada BoP.

Diah Kusumaningrum, pakar hubungan antarabangsa dari Universiti Gadjah Mada, berkata penarikan diri harus dianggap sebagai keputusan politik berbanding masalah teknikal. Beliau mengingatkan bahawa Indonesia pernah keluar daripada PBB pada tahun 1965, jadi ia tidak sepatutnya menjadi masalah kali ini.

“Indonesia tidak perlu ragu untuk keluar daripada Lembaga Keamanan apabila objektif dan tindakannya jelas tidak selaras dengan perlembagaan, Prinsip Bandung, dan nilai kemanusiaan,” kata Cik Diah.

Beliau menambah, jika tidak keluar, Indonesia akan dilihat bersubahat dalam jenayah pencerobohan dan akan kehilangan kewibawaan di dalam serta luar negara.

Pakar antarabangsa Suzie Sudarman pula berkata situasi konflik semasa dianggap sebagai force majeure (keadaan luar kawalan), maka tindakan keluar Indonesia sepatutnya mudah.

APA SETERUSNYA JIKA INDONESIA KELUAR?

Sekiranya Indonesia keluar daripada BoP, ia harus bersedia dengan tindak balas daripada Amerika Syarikat, termasuk kesan terhadap perjanjian perdagangan.

Amerika Syarikat merupakan destinasi eksport dan rakan dagang kedua terbesar Indonesia selepas China. Penganalisis mencadangkan agar pemerintah lebih proaktif mencari peluang ekonomi dengan negara lain dan lebih fokus kepada isu serantau di Indo-Pasifik dan ASEAN.

Bekas diplomat Dino Patti Djalal menggesa Encik Prabowo memberitahu Encik Trump bahawa Indonesia akan menangguhkan penghantaran pasukan pengamanan ke ISF di Gaza sementara menyemak semula situasi serius di Timur Tengah.

Encik Dino berkata pasukan pengamanan Indonesia secara praktikalnya akan berada di bawah perintah Amerika Syarikat dan Encik Trump sebagai pengerusi BoP.

“Di bawah kepimpinan Donald Trump yang sukar diramal, kita mesti mengelakkan risiko tentera Indonesia terjebak dalam komplikasi akibat konflik antara Amerika, Israel, dan Iran,” katanya pada 1 Mac.
Sumber : CNA/NK/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita