Skip to main content

Dunia

Indonesia di 'landasan betul' untuk capai sasaran GDP, pelaburan

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia di 'landasan betul' untuk capai sasaran GDP, pelaburan
Diterbitkan : 05 Feb 2026 07:33PM Dikemas Kini : 05 Feb 2026 07:35PM
JAKARTA: Indonesia berada di “landasan yang betul” untuk mencapai sasaran pertumbuhan ekonominya dan menarik lebih banyak pelaburan, kata Menteri Pelaburan dan Industri Hiliran negara itu, Rosan Perkasa Roeslani, sambil menyatakan minat untuk bekerjasama dengan pelabur negara asing seperti Temasek dari Singapura dan Khazanah dari Malaysia dalam pelaburan bersama di rantau ini.

“Menuju ke arah pertumbuhan ekonomi 8 peratus, kami percaya kami berada di landasan yang betul tetapi kami hanya perlu mempercepatkan pelaksanaannya,” katanya pada Khamis (5 Feb), sambil menyebut bagaimana Indonesia melebihi sasaran negara tahun lalu dengan menarik pelaburan sebanyak AS$120 bilion (S$152.8 bilion), serta menggesa lebih banyak kerjasama antara pemerintah, sektor swasta dan pelabur asing.

Encik Rosan, yang juga berkhidmat sebagai pengerusi Badan Koordinasi Penanaman Modal (BKPM) dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dana kekayaan negara kedua Indonesia, Danantara, berkata demikian ketika berucap di Sidang Puncak CNA 2026 yang diadakan di Ritz-Carlton Jakarta, Pacific Place.

Ini merupakan kali pertama sidang puncak utama itu diadakan di luar Singapura sejak dilancarkan pada 2020.

Acara terbaharu ini menghimpunkan pemimpin institusi pelaburan utama di rantau ini, termasuk Temasek, Danantara Indonesia dan Khazanah Nasional.

Bagi mencapai sasaran pertumbuhan 8 peratus yang ditetapkan oleh Presiden Prabowo Subianto menjelang akhir penggal pertamanya, Indonesia memerlukan pelaburan sebanyak AS$800 bilion (S$1 trilion) menjelang 2029, yang menurut Encik Rosan, adalah kira-kira peningkatan 40 peratus berbanding dekad lalu yang mencatatkan AS$500 bilion (S$636.9 bilion) pelaburan antara 2014 hingga 2024.

“Di Indonesia, kami mempunyai banyak potensi tetapi saya rasa yang paling penting, untuk mendapatkan pelaburan berkualiti, kami perlu mewujudkan lebih banyak pekerjaan.

"Itu penting kerana modal insan adalah kunci bagi kami jika kami mahu pertumbuhan yang lebih mampan di Indonesia,” katanya.

“Jika kita bercakap tentang potensi di Indonesia, saya fikir ia selari dengan kualiti pelaburan di seluruh dunia.”

Menteri itu juga menyentuh mengenai potensi Indonesia dalam tenaga boleh diperbaharui dan ekonomi digital, dengan pemerintah bersiap sedia untuk menarik lebih banyak pelaburan pusat data, khususnya di Batam.

Selain penciptaan pekerjaan, Encik Rosan menekankan peri penting meningkatkan iklim pelaburan Indonesia dengan mempermudahkan peraturan serta memastikan konsistensi dan kebolehramalan dasar, yang sekian lama dilihat sebagai kebimbangan pelabur asing.

Encik Rosan turut menyentuh peranan Danantara - yang dilancarkan pada Februari 2025 dan kini menguruskan jumlah aset sekitar AS$900 bilion (S$1.1 trilion), menurut IDN Financials pada Januari tahun ini - dalam menyatukan aset perusahaan milik negara, sambil menyatakan minat untuk bekerjasama dengan rakan ASEAN seperti Temasek dan Khazanah.

Sidang puncak tahun ini, bertajuk “Smart Growth: Navigating Investment and Innovation in a New Era” atau “Pertumbuhan Bijak: Menavigasi Pelaburan dan Inovasi dalam Era Baharu”, membincangkan tekanan yang dihadapi oleh pemimpin hari ini, termasuk perubahan geopolitik dan aliran modal, pendakapan pesat teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI), serta jangkaan yang semakin meningkat terhadap pertumbuhan inklusif.

Edisi-edisi terdahulu sidang puncak itu meneroka tema daripada ekonomi digital dan kesejahteraan mental hingga pemulihan hijau.

APA KATA KETUA PELABURAN TEMASEK DAN KHAZANAH

Dalam sesi yang dikendalikan oleh penyampai CNA Elizabeth Neo, Ketua Pegawai Pelaburan Temasek, Rohit Sipahimalani, menyentuh tentang pendekatan perspektif jangka panjang dalam membuat pelaburan, sambil menyatakan tahap tidak menentu yang dijangka berterusan dalam beberapa tahun akan datang pada paras yang tidak pernah dilihat dalam tempoh 40 tahun lalu.

Beliau berkata keadaan itu didorong oleh geopolitik, peningkatan nasionalisme, perlindungan perdagangan serta AI, yang boleh menjadi peluang besar tetapi juga bersifat mengganggu bagi sebilangan syarikat.

Encik Rohit berkongsi bahawa bagi Temasek, 60 peratus daripada portfolio pelaburannya adalah dalam perniagaan yang dianggap berdaya tahan.

Setakat sehingga 31 Mac tahun lalu, nilai bersih portfolio Temasek mencecah S$434 bilion.

Dalam satu lagi sesi, Ketua Pegawai Pelaburan Khazanah Nasional, Hisham Hamdan, berkata bahawa walaupun pertumbuhan ekonomi di negara seperti Malaysia adalah kukuh, pulangan pasaran modal ketinggalan, sambil menyeru kepada ekonomi yang lebih rencam.

Encik Hisham menyuarakan kebimbangan mengenai Malaysia menjadi “ekonomi hotel” di mana kegiatan ekonomi berlaku dalam negara tetapi sebahagian besar nilainya diraih di luar negara, sambil merujuk kepada platform pelancongan global seperti Booking.com dan Trip.com sebagai contoh.

Khazanah Malaysia menguruskan kira-kira AS$40 bilion (S$50.9 bilion) aset, menurut laporan media tempatan.

“CITA-CITA DAN PEMBAHARUAN STRATEGIK”

Dalam ucapan pembukaan sidang puncak, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mediacorp, Tham Loke Kheng, menekankan kepentingan misi CNA untuk membantu dunia memahami Asia sambil mengukuhkan keyakinan pemimpin, pelabur dan penggubal dasar Indonesia.

Ini termasuk pelancaran laman CNA Bahasa Indonesia pada April 2024 untuk menjangkau penonton dan pembaca Indonesia secara lebih meluas.

“Kami juga bersidang pada waktu yang penuh dengan cita-cita dan pembaharuan strategik di bawah pentadbiran Presiden Prabowo Subianto yang amat dirasai di seluruh rantau ini,” kata Cik Tham Loke Kheng.

“Persekitaran ini kaya dengan peluang, namun dibentuk oleh kerumitan yang lebih besar. Inilah sebabnya kami memilih pertumbuhan bijak sebagai fokus kami hari ini,” tambahnya, sambil menekankan latar belakang ketegangan geopolitik, pertumbuhan pesat AI dan persekitaran modal yang lebih berdisiplin.

Sidang Puncak CNA pada Khamis dihadiri oleh kira-kira 350 orang, termasuk penggubal dasar, pemimpin perniagaan dan ahli akademik dari seluruh rantau ini.

“Dengan acara ini, kami berharap pelaburan dapat berkembang dan meningkat, khususnya pelaburan tempatan di Jakarta, terutamanya bagi pelabur kali pertama dan pemain perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME).
 
Sumber : CNA/IM/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita