Indonesia dedah laporan pertama nahas Lion Air
Pihak berkuasa Indonesia akan mengeluarkan laporan awal hari ini (27 Nov) mengenai nahas pesawat Lion Air JT610 yang terhempas pada bulan lalu.
(Gambar fail: Beawiharta/Reuters)
JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia akan mengeluarkan laporan awal hari ini (27 Nov) mengenai nahas pesawat Lion Air JT610 yang terhempas pada bulan lalu.
Kesemua 189 penumpang dan anak kapal pesawat Boeing 737 MAX terkorban apabila pesawat itu terhempas ke dalam Laut Jawa sejurus selepas ia berlepas dari lapangan terbang.
Insiden tersebut merupakan nahas udara kedua paling dahsyat yang pernah dialami Indonesia.
Hasil siasatan itu dijangka tidak dapat mengenal pasti dengan tepat punca sebenar nahas tersebut. Bagaimanapun, ia mungkin dapat menerangkan mengapa salah sebuah pesawat komersil paling baru dan canggih boleh terhempas.
Sejauh ini, para penyiasat mengatakan bahawa pesawat berkenaan mengalami masalah pada penunjuk kelajuan udara dan darjah sensornya.
Ini menyebabkan syarikat Boeing mengeluarkan makluman khas bagi memberitahu para pengendali mengenai langkah yang harus diambil sekiranya mereka mengalami situasi yang sama.
Komite Nasional Keselamatan Transportasi Indonesia (KNKT) sudahpun berjaya menemui salah satu kotak hitam pesawat berkenaan, iaitu alat perakam data penerbangan. Ia bagaimanapun masih belum menjumpai alat perakam suara kokpit.
Usaha mencari alat perakam suara kokpit ternyata bertambah sulit selepas para penyiasat mengatakan pada minggu lalu bahawa isyarat 'ping' tidak lagi dapat dikesan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.