Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Indonesia dalam fasa terakhir rundingan bagi laluan hijau timbal balik dengan S'pura

Indonesia berada dalam fasa terakhir untuk merundingkan "laluan hijau timbal balik" (RGL) dengan Singapura bagi membenarkan perjalanan penting antara kedua-dua negara, kata Menteri Luar Negeri Retno Marsudi pada Selasa (6 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia dalam fasa terakhir rundingan bagi laluan hijau timbal balik dengan S'pura

Menteri Luar Negeri Indonesia Retno Marsudi. (Gambar: Kementerian Luar Negeri Indonesia)

Diterbitkan : 07 Oct 2020 10:26AM Dikemas Kini : 07 Oct 2020 10:28AM

JAKARTA: Indonesia berada dalam fasa terakhir untuk merundingkan "laluan hijau timbal balik" (RGL) dengan Singapura bagi membenarkan perjalanan penting antara kedua-dua negara, kata Menteri Luar Negeri Retno Marsudi pada Selasa (6 Okt).

Dalam satu temu bual eksklusif bersama laman berita CNA, Mediacorp, beliau berkata: "Kami sudahpun memasuki pusingan atau fasa terakhir rundingan. Semalam saya mengadakan perbualan melalui telefon dengan Dr Vivian (Balakrishnan) dan kami mengatakan bahawa kami cukup gembira dengan kemajuan rundingan yang kami buat sejauh ini."

"Semoga dalam jangka tidak terlalu lama ke hadapan, kami akan dapat melancarkan RGL bersama-sama dengan penekanan ini: Bahawa sekali lagi RGL ini ditujukan khusus untuk perjalanan perniagaan penting dan perjalanan rasmi yang sangat mendesak," tambahnya.

Beliau juga berkata: "Diharapkan dalam bulan ini, kami boleh mengumumkan 'kami sudah bersedia untuk itu'."

Cik Retno menekankan adalah penting bagi protokol kesihatan terus dilaksanakan dan dikekalkan.

Satu kenyataan oleh Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura pada 25 Ogos menyatakan kedua-dua pihak dijadualkan memulakan perbincangan mengenai "laluan hijau timbal balik" bagi membenarkan perjalanan penting untuk disambung semula secara bertahap-tahap.

Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, dan Cik Retno bersetju kedua-dua negara harus bekerjasama rapat untuk memperkukuh kerjasama kesihatan awam, meningkatkan pertumbuhan ekonomi serta pelaburan, memperdalam kerjasama kewangan dan memudahkan perjalanan secara selamat, menurut kenyataan tersebut.

"Dengan hubungan perniagaan yang kukuh antara Singapura dengan Indonesia, kedua-dua menteri ehwal luar itu menugaskan para pegawai untuk memulakan perbincangan mengenai 'laluan hijau timbal balik' bagi membolehkan perjalanan penting diteruskan semula secara beransur-ansur dengan cara yang akan melindungi kesihatan serta keselamatan awam di kedua-dua negara," tambah kenyataan itu.

Ketika ditanya secara khusus bila laluan hijau itu akan dilaksanakan, Cik Retno berkata: "Jika kami sudah mengumumkannya, ia bermaksud bahawa rundingan telah selesai... Apabila diumumkan, kami bersetuju bahawa tidak lama setelah diumumkan, ia boleh dilaksanakan."

Cik Retno menambah pihak berkuasa kini sedang membuat persediaan di lapangan seperti memastikan ujian reaksi rantaian polimerase (PCR) boleh dilakukan di dewan ketibaan lapangan terbang.

Diplomat tertinggi itu menegaskan bahawa hanya individu yang sihat boleh melakukan perjalanan ke kedua-dua negara untuk tujuan penting.

"Tugas kami adalah memastikan bahawa orang yang melakukan perjalanan, ialah orang yang sihat. Jadi, itulah sebabnya protokol kesihatan adalah untuk memeriksa sebelum keberangkatan, memeriksa selepas ketibaan. Kemudian ada prosedur lain dan kami benar-benar perlu mengguna pakainya secara berdisiplin," ujar beliau.

Singapura merupakan pelabur terbesar di Indonesia sejak lima tahun lalu. Bulan lalu, Presiden Joko Widodo menyatakan harapannya untuk kedua-dua belah pihak segera melaksanakan laluan hijau timbal balik sambil mengambil perhatian bahawa ia dapat membuka jalan bagi kemasukan pelaburan ke Indonesia.

Pada suku pertama 2020, Singapura merupakan pelabur asing utama Indonesia, dengan nilai pelaburan nyata sebanyak AS$2.7 bilion (S$3.6 bilion), menurut data Lembaga Penyelarasan Pelaburan Indonesia.

KESIHATAN, EKONOMI DAN KEWANGAN TUMPUAN RETREAT PEMIMPIN

Seperti tahun-tahun yang sudah, para pemimpin Indonesia dan Singapura dijangka bertemu lewat tahun ini bagi satu retreat pemimpin tahunan. Tahun ini adalah giliran Indonesia selaku tuan rumah mesyuarat tersebut.

Namun memandangkan keadaan pandemik COVID-19 sekarang, Cik Retno berkata keputusan tentang bila acara itu akan diadakan belum ditentukan.

Cik Retno berkata sekurang-kurangnya tiga isu utama bakal dibincangkan kedua-dua negara iaitu kesihatan, ekonomi dan kewangan.

Tahun lalu, Perdana Menteri Lee Hsien Loong bertemu dengan Presiden Joko Widodo pada Oktober dengan Singapura merupakan tuan rumah kepada mesyuarat tersebut.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan