Indonesia, China gesa Kod Tatalaku Laut China Selatan dimuktamadkan segera
Dari kiri, Menteri Pertahanan China Dong Jun, Menteri Luar China Wang Yi, Menteri Luar Indonesia Sugiono dan Menteri Pertahanan Indonesia Sjafrie Sjamsoeddin bergambar sempena pertemuan "2+2" di Jakarta pada 21 Ogos 2026. (Gambar: REUTERS/Edgar Su)
- Indonesia dan China menegaskan komitmen mempercepatkan pemuktamadan Kod Tatalaku Laut China Selatan serta mengekalkan peranan pusat ASEAN dalam keselamatan serantau.
- Dialog 2+2 kedua di Jakarta melibatkan Menteri Luar dan Menteri Pertahanan kedua-dua negara, membincangkan kerjasama politik, keselamatan, dan pertahanan.
- Kedua-dua pihak bersetuju memperluas interaksi ketenteraan, memperkukuh penguatkuasaan undang-undang, serta menangani cabaran keselamatan siber dan jenayah rentas negara.
- Mereka turut menekankan kepentingan hubungan ekonomi ASEAN-China dan menyuarakan kebimbangan terhadap ketegangan di Timur Tengah serta isu Palestin.
Komitmen itu dicapai dalam Dialog 2+2 kedua antara Menteri Luar dengan Menteri Pertahanan kedua-dua negara di Jakarta pada Jumaat (21 Ogos).
Pertemuan itu dipengerusikan bersama Menteri Luar Indonesia Sugiono dan Menteri Pertahanan Sjafrie Sjamsoeddin, serta rakan sejawat mereka dari China, Wang Yi dan Dong Jun.
Menurut kenyataan Kementerian Luar Indonesia, kedua-dua negara menyokong pelaksanaan penuh Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak di Laut China Selatan (DoC).
Kedua-duanya turut menggesa agar Kod Tatalaku yang mengikat dimuktamadkan dengan lebih segera di bawah kerangka ASEAN-China.
"Rantau kita memerlukan perkongsian yang dibina berlandaskan prinsip saling menghormati dan memahami bagi mengekalkan rantau yang aman, terbuka dan inklusif," kata Encik Sugiono.
Beliau menekankan bahawa dialog terbuka kekal penting untuk membina kepercayaan di tengah-tengah ketegangan global yang semakin meningkat.
Selain isu maritim, kedua-dua delegasi bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dua hala dalam bidang politik, keselamatan dan pertahanan.
Bagi memperkukuh hubungan ketenteraan, kedua-dua pihak bersetuju memperluas interaksi antara Tentera Nasional Indonesia (TNI) dengan Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA).
Ia termasuk mengadakan pertemuan tetap antara Menteri Pertahanan kedua-dua negara.
Kerjasama itu turut merangkumi penguatkuasaan undang-undang dan cabaran keselamatan menerusi tindakan bersama, perkongsian maklumat serta usaha membina keupayaan bagi menangani jenayah rentas negara dan memperkukuh daya tahan keselamatan siber.
Dalam bidang ekonomi, kedua-dua negara menekankan perlunya hubungan ekonomi ASEAN-China diperkukuh sebagai pemacu kestabilan dan kemakmuran serantau untuk jangka panjang.
Kedua-dua delegasi turut menyuarakan kebimbangan mengenai ketegangan di Timur Tengah dan menggesa tindakan global yang diselaraskan bagi mencapai penyelesaian politik yang berkekalan dan adil untuk Palestin.
Pegawai Indonesia menegaskan bahawa hubungan rapat dengan Beijing mencerminkan pelaksanaan dasar luar negara Indonesia yang "bebas dan aktif".
Dialog di Jakarta itu menyusuli pertemuan sulung 2+2 di Beijing pada April 2025.
Pertemuan tersebut merupakan sebahagian daripada hala tuju strategik yang dipersetujui Presiden Indonesia Prabowo Subianto dengan Presiden China Xi Jinping pada November 2024 untuk memperkukuh kerjasama keselamatan dua hala.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.