Indonesia catat lonjakan tertinggi korban COVID-19 dalam sehari
Indonesia mencatatkan lonjakan harian tertinggi angka korban COVID-19 pada Jumaat (25 Dis) dengan 258 kematian, menjadikan angka korban keseluruhan 20,847, menurut data kementerian kesihatan negara itu.
JAKARTA: Indonesia mencatatkan lonjakan harian tertinggi angka korban COVID-19 pada Jumaat (25 Dis) dengan 258 kematian, menjadikan angka korban keseluruhan 20,847, menurut data kementerian kesihatan negara itu.
Jumlah jangkitan pula bertambah sebanyak 7,259, menjadikan jumlah keseluruhan kes 700,097.
Perayaan Krismas di Indonesia kali ini lebih sepi setelah pemerintah Indonesia awal bulan ini mengumumkan larangan ke atas perhimpunan besar-besaran pada hari Krismas dan Malam Tahun Baru. Gereja hanya dihadkan kepada 50 orang penganut.
Sebilangan besar gereja utama di seluruh negara, yang kebanyakan daripada 270 juta penduduknya merupakan penganut Islam, mematuhi larangan tersebut pada Khamis. Kira-kira 10 peratus penduduknya beragama Kristian.
Ekoran penemuan jenis baru COVID-19 yang menular di Britain, Indonesia baru-baru ini melarang pelancong dari negara itu.
Peraturan bagi mereka yang tiba dari Eropah dan Australia juga diperketat menyusuli petunjuk bahawa jenis virus itu juga menular di sana.
Presiden Joko Widodo minggu ini melantik enam menteri baru dalam satu rombakan Kabinet, termasuk pengganti menteri kesihatan Terawan Agus Putranto yang dikritik hebat kerana cara beliau menangani pandemik COVID-19.
"Presiden menugaskan saya untuk fokus pada bagaimana kita dapat mengatasi masalah COVID-19 secepat dan sebaik mungkin," kata Menteri Kesihatan baru Budi Gunadi Sadikin, yang beralih dari jawatannya sebagai timbalan menteri perusahaan negeri dan ketua pasukan petugas pemulihan ekonomi dilantik Encik Jokowi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.