Skip to main content

Dunia

Indonesia capai tahap sara diri beras: Prabowo

Presiden Indonesia Prabowo Subianto mengumumkan bahawa Indonesia secara rasmi sudah mencapai tahap sara diri beras setakat 31 Disember 2025.
Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia capai tahap sara diri beras: Prabowo
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto. (Gambar: REUTERS/Willy Kurniawan)
Diterbitkan : 06 Jan 2026 05:43PM
JAKARTA: Presiden Indonesia Prabowo Subianto mengumumkan bahawa Indonesia secara rasmi sudah mencapai tahap sara diri beras setakat 31 Disember 2025.

Encik Prabowo berkata pencapaian itu merupakan sasaran strategik nasional yang pada mulanya ditetapkan untuk dicapai dalam tempoh empat tahun, namun berjaya direalisasikan dalam tempoh setahun sahaja.

“Terima kasih atas kerja keras dan kerjasama antara semua pihak berkepentingan, sasaran ini dapat dicapai dengan lebih awal. Pada tahun 2025, kita tidak mengimport beras langsung. Sasaran empat tahun berjaya kita laksanakan dalam masa satu tahun,” kata beliau.

Encik Prabowo mengumumkan perkara itu dalam ucapannya sebelum merasmikan sambutan Krismas Peringkat Kebangsaan di Arena Tenis Tertutup Senayan, di Jakarta, pada Isnin (5 Jan) malam.

Beliau berkata pemerintah komited untuk mengekalkan kemampanan tahap sara diri beras dengan memperkukuh sektor pertanian, meningkatkan kebajikan petani serta memanfaatkan teknologi dan inovasi bagi menjamin keterjaminan makanan negara yang mampan.

Dalam semangat sambutan Krismas, ketua negara itu turut menyeru perpaduan negara dan kerjasama daripada rakyat dalam merealisasikan aspirasi Indonesia untuk menjadi sebuah negara maju, berdaulat dan makmur untuk seluruh rakyatnya.

“Saya sentiasa mahu mengajak semua orang, tanpa mengira perbezaan kita, tanpa mengira apa jua dosa yang mungkin kita lakukan pada masa lalu kerana kita hanyalah manusia yang penuh dengan kekurangan dan kesilapan. Namun sekarang, kita harus bekerjasama, kita mesti bersatu dan saling berganding bahu.

“Yang kuat harus membantu yang lemah, yang lemah harus bersatu dalam kerjasama. Bertandinglah secara adil, tetapi setelah persaingan tamat, bersatulah semula,” kata Encik Prabowo.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita