Indonesia buka terminal baharu khas bagi jemaah haji & umrah
Presiden Indonesia Prabowo Subianto menyeru agar kos haji lebih terjangkau bagi rakyat negara itu.

Presiden Prabowo gesa agar kos haji lebih mampu ditanggung rakyat Indonesia. (Gambar: Mediacorp)
Beliau berkata demikian di majlis perasmian Terminal Khusus Haji dan Umrah di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta pada Ahad (4 Mei).
Dalam ucapannya, Presiden Prabowo berkata pemerintah Indonesia berusaha keras untuk mengurangkan kos haji sebanyak 4 juta Rupiah (S$312) tahun ini, namun mengaku masih belum berpuas hati dengan jumlah itu.
Presiden Prabowo turut berkongsi, jumlah jemaah haji dan umrah dari Indonesia mencapai lebih 2.2 juta orang setiap tahun.
Maka itu, sebuah terminal khas yang disediakan untuk jemaah haji dan umrah Indonesia di Jakarta bertepatan pada masanya.
Kerja-kerja mengubah suai terminal tersebut melibatkan kos 1 trilion Rupiah (S$78.4 juta) dan ia lebih menjimatkan daripada membina sebuah terminal baharu.
Satu proses imigresen di bawah program "Laluan Makkah" turut dilancarkan, di mana para jemaah haji dapat menyelesaikan semua pemeriksaan di Jakarta sebelum tiba di Jeddah atau Madinah.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Prabowo dilaporkan turut menyarankan kepada Putera Mahkota Saudi Mohammed Bin Salman tentang rancangan untuk membina sebuah perkampungan Indonesia berdekatan Masjidil Haram di Makkah.
Menurut Encik Prabowo, saranan Indonesia itu akan dibincangkan dengan lebih lanjut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.