Skip to main content

Dunia

Indonesia berkas mantan ketua Badan Gizi Nasional termasuk 2 bekas pegawai atas tuduhan rasuah

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia berkas mantan ketua Badan Gizi Nasional termasuk 2 bekas pegawai atas tuduhan rasuah

Kanak-kanak sekolah rendah makan makanan yang disediakan oleh program makanan percuma pemerintah di sebuah bilik darjah di Jakarta, pada 23 Jun 2025. (Gambar fail: AFP/Bay Ismoyo)

Diterbitkan : 03 Jun 2026 07:53PM Dikemas Kini : 03 Jun 2026 07:55PM
JAKARTA: Pejabat Peguam Negara (AGO) Indonesia menyatakan pada Rabu (3 Jun) bahawa tiga bekas pegawai Badan Gizi Nasional, termasuk ketuanya yang baru dipecat, telah diberkas atas tuduhan rasuah berhubung program makanan percuma yang diperkenalkan oleh Presiden Prabowo Subianto.

Kes itu berkaitan dengan dakwaan rasuah, menurut pejabat itu.

Dua sumber, yang meminta nama mereka dirahsiakan, memberitahu Reuters bahawa kakitangan AGO telah menyerbu ibu pejabat agensi itu pada pukul 2.00 pagi waktu tempatan pada Rabu (3 Jun) dengan beberapa kenderaan.

Bangunan itu kekal di bawah kawalan pihak berkuasa pada pukul 11.00 ​​pagi, dan pekerja yang sepatutnya melaporkan diri untuk bertugas tidak dibenarkan memasuki premis tersebut.

Ini berlaku hanya beberapa jam selepas Presiden Prabowo Subianto memecat ketua agensi itu, Dadan Hindayana.

Dadan, seorang ahli entomologi yang telah memimpin Badan Gizi Nasional sejak penubuhannya pada akhir 2024, dituduh melakukan "jenayah dalam pengurusan" skim tersebut, menurut Syarief Sulaeman Nahdi dari AGO kepada para wartawan di Jakarta.

Program itu merupakan bahagian penting dalam kempen Presiden Prabowo, dan pemerintah telah memperuntukkan sekurang-kurangnya AS$15 bilion untuk menyediakan makanan percuma kepada 83 juta kanak-kanak dan wanita hamil di seluruh negara itu.

Sungguhpun demikian, para pelabur yang berwaspada terhadap rancangan perbelanjaan besar Presiden Prabowo bimbang ambang defisit kewangan mungkin disebabkan oleh program tersebut.

Skim itu juga dikaitkan dengan kes keracunan makanan yang telah menjejaskan sekurang-kurangnya 33,000 kanak-kanak setakat April, menurut Network for Education Watch, sebuah pertubuhan bukan pemerintah.
Sumber : Agensi berita/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita