Skip to main content

Dunia

Indonesia berkas juruterbang warga Malaysia, disyaki seludup 26kg dadah

Pihak berkuasa Indonesia memberkas seorang juruterbang warga Malaysia yang dipercayai menyeludup 26 kilogram dadah jenis MDMA ke ibu negara Jakarta ketika bertugas dan di bawah pengaruh dadah, menurut pejabat kastam pada Jumaat (31 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia berkas juruterbang warga Malaysia, disyaki seludup 26kg dadah

Sebuah pesawat Malaysia Airlines. (Gambar fail: REUTERS/Hasnoor Hussain)

Diterbitkan : 31 Jul 2026 01:55PM
JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia memberkas seorang juruterbang warga Malaysia yang dipercayai menyeludup 26 kilogram dadah jenis MDMA ke ibu negara Jakarta ketika bertugas dan di bawah pengaruh dadah, menurut pejabat kastam pada Jumaat (31 Jul).

Juruterbang berusia 39 tahun itu diberkas pada Rabu di lapangan terbang utama Jakarta.

Juruterbang yang dikenal pasti dengan singkatan nama MS itu baru sahaja menerbangkan pesawat Malaysia Airlines dari Kuala Lumpur ke Jakarta, kata pegawai kastam Hengky Tomuan Parlindungan Aritonang dalam satu sidang media pada Jumaat.

Menurut pejabat kastam, juruterbang tersebut yang kini dinamakan sebagai suspek jenayah, membawa MDMA di dalam sebuah beg pakaian ke Jakarta atas permintaan seorang individu yang tidak dikenali.

Juruterbang tersebut ditawarkan upah sebanyak RM50,000 (S$15,300).

Encik Hengky berkata ujian air kencing mendapati juruterbang tersebut positif kokain dan methamphetamine, sambil menambah bahawa pihak berkuasa Indonesia dan Malaysia sedang berhubung mengenai kes tersebut.

Beliau berkata juruterbang terbabit bertindak sebagai penghantar dadah.

Malaysia Airlines enggan mengulas lanjut mengenai kes itu kerana siasatan masih dijalankan, namun menegaskan syarikat itu tidak bertolak ansur terhadap sebarang bentuk salah laku dan sedang menjalankan semakan dalaman berhubung perkara tersebut. Syarikat itu turut memaklumkan bahawa ia akan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa yang relevan.

Indonesia mempunyai undang-undang dadah yang tegas dan pada 2015 telah melaksanakan hukuman mati ke atas dua warga Australia yang terbabit dalam sindiket dadah Bali Nine kerana cuba menyeludup heroin keluar dari pulau peranginan Bali.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita