Skip to main content

Dunia

Indonesia berjaya kawal COVID-19, serlahkan kepimpinan global di tengah-tengah ketegangan: Jokowi

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia berjaya kawal COVID-19, serlahkan kepimpinan global di tengah-tengah ketegangan: Jokowi

Presiden Joko Widodo, yang berpakaian tradisi Bangka Belitung, menyampaikan amanat sempena Ulang tahun Kemerdekaan negara itu yang ke 77 di bangunan parlimen di Jakarta, Indonesia pada 16 Ogos. (Gambar: AFP/Tatan Syuflana, Pool)

Diterbitkan : 16 Aug 2022 04:53PM
JAKARTA: Indonesia berjaya mengawal pandemik COVID-19 sedang ekonomi Indonesia tumbuh, kata Presiden Joko Widodo pada Selasa (16 Ogos) semasa menyampaikan amanat sempena Ulang tahun Kemerdekaan negara itu yang ke 77.

Beliau juga berkata bahawa negara Asia Tenggara itu dapat menyerlahkan kepimpinan global meskipun di tengah-tengah ketegangan geopolitik.

Presiden Jokowi menambah Indonesia adalah antara lima negara terunggul di peringkat global dari segi jumlah vaksinasi COVID-19, dengan 432 juta dos diberikan setakat ini.

Presiden Jokowi turut berkata pertumbuhan ekonomi negara itu naik 5.44 peratus setahun lalu dalam suku kedua tahun ini, sekaligus menunjukkan kadar pertumbuhan paling pantas dalam setahun.

Kadar inflasi setakat iniadalah sekitar 4.94 peratus, di bawah kadar inflasi negara-negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), iaitu sekitar tujuh peratus, jelas Encik Widodo.

Sehingga pertengahan tahun ini, belanjawan Indonesia juga mempunyai lebihan sebanyak 106 trilion rupiah (S$9.9 bilion), kata beliau.

Dalam ucapannya, Presiden Jokowi menyatakan bahawa suruhanjaya pilihan raya sedang bersiap sedia bagi pilihan raya yang bakal berlangsung pada 2024.

Beliau menegaskan agar tiada berlakunya 'politik identiti', 'mempolitikkan agama' dan 'polarisasi sosial' dalam pilihan raya yang akan datang.

Pilihan raya lalu pada 2019 menyaksikan Encik Widodo bersaing dengan Menteri Pertahanan Prabowo Subianto. Beberapa pemerhati menganggap persaingan itu sebagai pilihan raya paling berpolarisasi dalam sejarah Indonesia.

Encik Widodo juga berkongsi pada Selasa (16 Ogos) bahawa kepercayaan masyarakat antarabangsa kepada Indonesia sudahpun "meningkat dengan ketara".

Indonesia diterima oleh Rusia dan Ukraine sebagai jambatan kepada keamanan dunia, kata beliau.
Amanat sempena Ulang tahun Kemerdekaan negara itu yang ke-77 disampaikan buat pertama kalinya sejak pandemik COVID-19, di depan semua penggubal undang-undang pada Selasa (16 Ogos).

Dalam dua tahun lalu, amanat tersebut disampaikan di depan sebilangan kecil anggota parlimen sementara yang lain menghadirinya secara online.

Presiden Joko Widodo turut dijangka akan mendedahkan belanjawan negara bagi 2023 pada hari yang sama.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita