Skip to main content

Dunia

Indonesia beri amaran kepada Google selepas YouTube gagal patuh peraturan lindung kanak-kanak

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia beri amaran kepada Google selepas YouTube gagal patuh peraturan lindung kanak-kanak
Ikon aplikasi YouTube pada sebuah telefon bijak dalam ilustrasi yang dirakam pada 27 Oktober 2025. (Gambar fail: REUTERS/Dado Ruvic)
JAKARTA: Indonesia mengeluarkan amaran rasmi kepada Google berhubung kegagalan YouTube mematuhi peraturan baharu bagi melindungi kanak-kanak, terutamanya dalam menyekat akses bagi pengguna bawah umur 16 tahun.

Menteri Komunikasi dan Digital Meutya Hafid berkata amaran bertulis itu dikeluarkan menyusuli pemeriksaan yang mendapati YouTube masih belum memenuhi kewajipannya di bawah peraturan tersebut.

“Berdasarkan pemeriksaan oleh Ketua Pengarah Pengawasan Ruang Digital pada 7 April, YouTube tidak memenuhi kewajipan pematuhannya dan tidak atau belum menyatakan niat baik untuk mengikuti undang-undang yang terpakai dalam masa terdekat,” katanya semasa sidang media pada Khamis (9 Apr).

Beliau menambah bahawa pemerintah tidak lagi dapat bertoleransi dengan situasi tersebut, sekali gus mendorong peralihan daripada pengawasan kepada tindakan penguatkuasaan.

Cik Meutya berkata tindakan itu diambil di bawah peraturan pemerintah mengenai perlindungan kanak-kanak dalam ruang digital (PP Tunas), yang memerlukan platform menyekat akses bagi pengguna bawah 16 tahun dan memperkukuh perlindungan.

Beliau berkata sekatan dikenakan secara progresif di bawah rangka kerja tersebut, bermula daripada amaran bertulis kepada penggantungan sementara dan akhirnya penamatan akses.

“Sekatan dikenakan secara berperingkat, sementara masih mengharapkan perubahan sikap daripada Google, dan hari ini kami mengeluarkan surat amaran,” katanya.

Pada 28 Mac, Indonesia mula melaksanakan peraturan baharu yang melarang kanak-kanak bawah 16 tahun daripada mengakses platform digital, termasuk Instagram, Facebook, Threads, X, Bigo Live, YouTube, TikTok dan Roblox, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh perlindungan online kanak-kanak terhadap risiko seperti pornografi, buli siber, penipuan dan ketagihan.

Setakat Khamis (9 Apr), tiga pemilik platform - Meta, yang menyelia Facebook, Instagram dan Threads; X; dan Bigo Live - sudah mematuhi sepenuhnya peraturan tersebut dengan menguatkuasakan sekatan ke atas pengguna bawah 16 tahun.

Sementara itu, TikTok dan Roblox dikategorikan sebagai patuh sebahagian dan diberi tempoh sehingga 10 April untuk mengemukakan pelan tindakan selepas meminta masa tambahan bagi memenuhi keperluan tersebut.

YouTube kekal sebagai satu-satunya platform dalam kalangan lapan platform tersebut yang masih belum patuh atau menunjukkan niat baik dalam menyekat akses bagi pengguna bawah 16 tahun.

Pemerintah juga memberikan pengendali sistem elektronik (PSE) lain di luar lapan platform awal tersebut tempoh tiga bulan untuk menjalankan penilaian risiko secara bebas dan menyerahkan pelan pelaksanaan.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita