Indonesia bergelut cabaran guna tenaga mesra alam
Indonesia berdepan dengan cabaran untuk membangunkan sumber tenaga boleh diperbaharui seperti daripada angin dan suria meskipun negara itu kaya dengan sumber-sumber semula jadi.

Panel-panel suria yang dipasangkan di bumbung pusat perdagangan LTC Glodok di Jakarta Barat.
JAKARTA: Indonesia berdepan dengan cabaran untuk membangunkan sumber tenaga boleh diperbaharui seperti daripada angin dan suria meskipun negara itu kaya dengan sumber-sumber semula jadi.
Tenaga elektrik dari sumber sedemikian membentuk hanya sekitar 12 peratus manakala yang menggunakan arang batu menyumbang kepada sekitar 60 peratus.
Pemerintah Indonesia menetapkan sasaran untuk menghasilkan 23 peratus tenaga elektrik di negara itu daripada sumber-sumber yang boleh diperbaharui menjelang tahun 2025.
Pusat perdagangan popular di Jakarta Barat, LTC Glodok, mula menggunakan tenaga suria pada September lalu dengan panel-panel suria dipasang meliputi kawasannya seluas 800 meter persegi.
Walaupun terhad disebabkan isu-isu struktur pusat tersebut, hasilnya dapat dilihat dengan segera.
"Kita setelah memakai panel suria, kita menghemat sekitar 25 peratus daripada keseluruhan yang biasa kita bayar kepada PLN (Perusahaan Listrik Negara) sekitar 2 juta Rupiah (S$19,000) setiap bulan," kata Fandy, Pengurus Besar Operasi LTC Glodok.
Pemaju hartanah itu bekerjasama dengan syarikat pemula Xurya Daya Indonesia yang berusaha menarik lebih banyak pihak supaya bertukar kepada kuasa suria.
Ditubuhkan pada 2018, Xurya menawarkan khidmat kepada hartanah komersil dan industri.
Namun begitu, seorang pengamat berkata permintaan bagi panel suria dipasang di bumbung rumah semakin meningkat.
"Menurut tinjauan pasaran kami, sekitar 11 peratus isi rumah di Indonesia sanggup memasang panel suria di bumbung. Jadi 11 peratus itu adalah sekitar tujuh hingga lapan juta isi rumah. Namun daripada jumlah itu, sekitar 2 peratus yang boleh melabur tanpa sokongan pemerintah. Walau bagaimanapun, jumlah itu juga masih agak tinggi," ujar Fabby Tumiwa, Pengarah Eksekutif IESR.
Bilangan pengguna elektrik di Indonesia adalah salah satu yang bertambah dengan amat pesat di dunia.
Dengan permintaan dan potensi tenaga elektrik daripada sumber mesra alam yang kian meningkat di Indonesia, pihak berkuasa Indonesia berusaha menyemak semula peraturan yang menghambat pembangunan tenaga mesra alam.
Tahun ini sahaja, dua peraturan baru dikeluarkan pemerintah Indonesia iaitu sistem tenaga suria di bumbung bangunan dan Pelan Pemerolehan Elektrik bagi tahun 2021 hingga 2030.
Kedua-duanya dijangka memudahkan pertumbuhan tenaga baru kepada 23 peratus sumber tenaga Indonesia menjelang 2025, selaras dengan sasaran pemerintah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.