Indonesia batalkan lesen pelombongan nikel di Raja Ampat
Indonesia membatalkan lesen pelombongan nikel empat syarikat yang beroperasi di Kepulauan Raja Ampat, kawasan sensitif dari segi ekologi, berikutan pelanggaran peraturan alam sekitar.

Sebahagian tapak pelombongan yang terjejas terletak dalam zon yang dilindungi. (Gambar: AP)
Keputusan yang diumumkan pada Selasa itu melibatkan PT Anugerah Surya Pratama, PT Nurham, PT Mulia Raymond Perkasa dan PT Kawei Sejahtera Mining, menurut Setiausaha Negara Prasetyo Hadi.
“Pembatalan dilakukan secara objektif, melibatkan penyelarasan antara kementerian dan pengesahan di lapangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan bahawa sebahagian tapak pelombongan yang terjejas terletak dalam zon yang dilindungi, menjadikan aktiviti pengekstrakan tidak sesuai dari segi ekologi.
Raja Ampat, terletak di Papua Barat Daya, terkenal dengan kepelbagaian biologi marin yang kaya dan merupakan tapak Taman Geologi Global yang diiktiraf UNESCO.
Sementara itu, sebuah syarikat, PT Gag Nikel, mengekalkan lesennya setelah lulus penilaian alam sekitar dan beroperasi di luar sempadan taman geologi itu.
Bagaimanapun, Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Bahlil Lahadalia berkata pemerintah akan mengenakan pemantauan lebih ketat terhadap operasinya di Pulau Gag pada masa depan.
Indonesia merupakan pengeluar nikel terbesar dunia, logam yang merupakan komponen utama dalam bateri kenderaan elektrik dan keluli tahan karat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.