Indonesia bakal lancar aplikasi GovTech baharu, perlu ada akaun bank untuk agihan bantuan sosial
Pemerintah Indonesia akan membangunkan satu aplikasi yang mengintegrasikan semua perkhidmatan online yang disediakan kementerian dan agensi pemerintah.
Encik Luhut Binsar Pandjaitan (tengah) mengumumkan inisiatif aplikasi GovTech pada 19 Mac 2025. (Gambar: Sekretariat Presiden Indonesia)
Presiden Prabowo Subianto dijangka melancarkan aplikasi GovTech (Teknologi Pemerintah) itu semasa sambutan Hari Kemerdekaan negara tersebut pada 17 Ogos 2025, kata Encik Luhut pada Rabu (19 Mac), lapor Jakarta Globe.
“Presiden ingin memperkenalkan GovTech sebagai platform berpusat yang akan menyatukan semua aplikasi kementerian dan agensi pemerintah, meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kemungkinan berlakunya rasuah,” kata Encik Luhut selepas mesyuarat dengan presiden dan menteri-menteri ekonomi di Istana Negara di Jakarta.
Presiden juga akan bertemu dengan ratusan pembangun web muda yang memainkan peranan penting dalam mencipta GovTech, tambah beliau.
Berdasarkan pengiraan awal pemerintah, pendigitalan tersebut boleh menjimatkan 100 trilion rupiah (S$8 bilion) dari segi "perbelanjaan yang tidak diperlukan", kata Encik Luhut.
Kos bagi pembangunan aplikasi tersebut dan usaha untuk mengintegrasikan perkhidmatan online tersebut tidak didedahkan laporan media. Namun, ini bukan kali pertama pemimpin Indonesia membincangkan usaha untuk memperkemaskan perkhidmatan awam.
Pada Mei tahun lalu, mantan Presiden Joko Widodo mengarahkan pegawai pemerintah untuk berhenti membangunkan aplikasi mudah alih baharu. Beliau juga memulakan inisiatif yang digelar INA Digital untuk mengintegrasikan sistem dan data bagi sekitar 27,000 aplikasi yang dikendalikan pelbagai kementerian dan pentadbiran daerah.
Menurut Jakarta Globe, aplikasi unggul GovTech itu akan melaksanakan empat fungsi utama.
Ia akan memberi tumpuan kepada usaha memaksimumkan kutipan hasil negara dengan memperkemas pembayaran cukai online dan memastikan kutipan royalti yang tepat bagi sektor mineral dan arang batu.
Ia bertujuan untuk meningkatkan kecekapan perbelanjaan negara dengan membolehkan pemantauan projek negara dalam masa nyata, serta penilaian penyedia khidmat berdasarkan data.
Aplikasi itu juga akan menyelaraskan perkhidmatan awam yang penting termasuk tadbir urus kewarganegaraan, lesen memandu, pasport dan akses kepada pendidikan dan jagaan kesihatan.
Selain itu, ia akan memudahkan pengagihan bantuan pemerintah, dengan bantuan kewangan dipindahkan secara langsung ke akaun bank individu yang dihubungkan dengan aplikasi GovTech.
Akhir sekali, aplikasi tersebut juga bertujuan untuk memperbaiki proses bagi mendapatkan lesen perniagaan melalui peningkatan Sistem Perizinan Berusaha Terintegrasi Secara Elektronik (OSS).
Langkah tersebut dapat meningkatkan daya saing Indonesia dan menggalakkan pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana.
Keyakinan pelabur terhadap Indonesia tergugat apabila belanjawan negara mencatatkan defisit awal tahun pada Januari dan Februari 2025, di samping hasil negara yang merosot sekitar 20 peratus.
Persoalan juga timbul berkenaan langkah dasar lain seperti pelancaran Danantara, iaitu dana kekayaan berdaulat baharu yang akan menguruskan aset bagi semua perusahaan milik negara termasuk tiga bank terbesar Indonesia.
Awal tahun ini, Presiden Prabowo mengumumkan pemotongan belanjawan sebanyak 256 trilion rupiah (S$120.56 bilion) bagi kementerian dan agensi negara, dengan pengurangan sebanyak 50 trilion rupiah (S$4.1 bilion) dalam pemindahan pemerintah pusat kepada pentadbiran daerah. Pemotongan yang besar itu menjejaskan semangat kakitangan dan akan memberi kesan yang meluas, dari segi pengurangan penyenggaraan jalan raya hingga ke kekurangan dana untuk membantu mangsa keganasan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.