Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Indonesia bakal eksport ayam ke S'pura 'tidak lama lagi'

Syarikat-syarikat Indonesia akan mula mengeksport produk ayam ke Singapura "tidak lama lagi", menurut Kementerian Pertanian negara itu dalam respons kepada pertanyaan Mediacorp pada Rabu (6 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia bakal eksport ayam ke S'pura 'tidak lama lagi'

Gambar fail ayam. (Gambar: Mohd RASFAN/AFP)

JAKARTA: Syarikat-syarikat Indonesia akan mula mengeksport produk ayam ke Singapura "tidak lama lagi", menurut Kementerian Pertanian negara itu dalam respons kepada pertanyaan Mediacorp pada Rabu (6 Jul).

Pada masa yang sama, kementerian itu menyatakan ia sedang bekerjasama dengan lebih banyak perniagaan untuk mendapatkan keizinan bagi mengeksport produk ayam ke negara jiran itu.

Ini setelah Singapura mengumumkan pada 30 Jun bahawa ia sudah menyertakan Indonesia sebagai satu sumber baru untuk mengimport ayam beku dan ayam diproses.

Menurut Agensi Makanan Singapura (SFA), tiga syarikat dari Indonesia sudah diberikan kebenaran untuk mengeksport produk-produk daging ayam dan daging ayam ke negara ini.

Dua daripada syarikat itu adalah firma subsidiari Indonesia daripada sebuah konglomerat makanan yang berpangkalan di Thailand, Charoen Pokphand, manakala satu lagi ialah syarikat subsidiari gergasi makanan beku Indonesia,Japfa Comfeed.

Cik Tri Mela Sari, pengarah pemprosesan dan pemasaran produk haiwan di Kementerian Pertanian, memberitahu Mediacorp bahawa tiga syarikat bertauliah itu belum lagi mengeksport produk-produknya ke Singapura.

“Berapa cepat syarikat-syarikat ini akan mula mengeksport ayam ke Singapura bergantung kepada rundingan di peringkat perniagaan (B2B) antara syarikat Indonesia dengan syarikat Singapura. Berapa banyak yang akan dieksport juga akan bergantung kepada rundingan B2B," jelasnya.

“Kami akan mula mengeksport tidak lama lagi. Kami akan memberitahu anda apabila (perjanjian) sudah dimuktamadkan."

Beliau menambah ada 12 syarikat Indonesia lain yang kini sedang berusaha bagi mendapatkan kebenaran untuk mengeksport produk ayam ke Singapura. Semua permohonan sudahpun diserahkan kepada SFA.

“Kami sekarang sedang menunggu SFA untuk memulakan proses audit. Pemerintah berharap audit itu boleh dijalankan tidak lama lagi," kata Cik Mela Sari.

Bulan lalu, sebuah pasukan dari SFA mengadakan lawatan ke Indonesia untuk mengaudit keselamatan makanan dan kawalan kesihatan haiwan negara itu. Pasukan tersebut melawat beberapa kemudahan seperti ladang ternakan, stesen kuarantin dan makmal untuk memahami dengan lebih baik sistem kawal selia yang dilaksanakan.

SFA menyatakan pertubuhan serta ladang perseorangan perlu dinilai dan diluluskan dengan penilaian dokumentari yang terperinci serta audit di lapangan untuk mendapatkan pengesahan.

Menurut anggaran oleh Kementerian Pertanian bulan lalu, pengeluaran daging ayam Indonesia sepanjang 2022 dijangka mencapai 5.9 juta tan.

Permintaan dalam negeri bagi daging ayam dianggarkan sebanyak 5.3 juta tan tahun ini, bermakna akan ada lebihan bulanan purata sekitar 50,000 tan.

“Kami sedang mengalami isu lebihan bekalan ayam dalam negeri. Lebihan kami agak banyak," Encik Nasrullah, Ketua Pengarah Ternakan dan Kesihatan Haiwan Kementerian Pertanian, memberitahu Mediacorp.

Menurut Kementerian itu, Indonesia mengeksport sekitar 500 tan ayam tahun lalu, kebanyakannya ke negara jirannya.

Singapura mengimport 214,400 tan daging ayam tahun lalu, sekitar sepertiga daripada adalah dari Malaysia.

Malaysia melaksanakan larangan eskport sehingga 3.6 juta ayam sebulan berikutan isu-isu bekalan dan harga dalam negeri, dengan beberapa peniaga ayam menjual ayam seekor pada harga melebihi had yang ditetapkan bagi menampung kos mereka.

Menyusuli larangan eskport itu, Singapura mengumumkan ia akan mendapatkan sumber ayam dari negara-negara lain termasuk Indonesia dan Thailand.
Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan