Skip to main content

Dunia

Indonesia ancam undur dari perjanjian iklim Paris dek isu minyak kelapa sawit

 Seorang menteri kanan Indonesia memberi amaran pada Rabu (27 Mac) negara itu mungkin mengundurkan diri daripada perjanjian iklim Paris jika Kesatuan Eropah (EU) meneruskan rancangannya untuk menghentikan secara berfasa penggunaan minyak sawit dalam bahan bakar pengangkutan yang boleh diperbaharui.

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia ancam undur dari perjanjian iklim Paris dek isu minyak kelapa sawit

Orang utan antara haiwan yang terancam akibat kehilangan habitat (Gambar fail: Reuters)

Diterbitkan : 28 Mar 2019 12:08AM Dikemas Kini : 28 Mar 2019 12:11AM

JAKARTA: Seorang menteri kanan Indonesia memberi amaran pada Rabu (27 Mac) ekonomi terbesar di Asia Tenggara itu mungkin mengundurkan diri daripada perjanjian iklim Paris jika Kesatuan Eropah (EU) meneruskan rancangannya untuk menghentikan secara berfasa penggunaan minyak sawit dalam bahan bakar pengangkutan yang boleh diperbaharui.

Indonesia yang merupakan pengeluar terbesar dunia minyak kelapa sawit, membantah EU setelah kesatuan ekonomi itu menyenaraikan kelapa sawit sebagai tanaman berisiko yang menyebabkan penebangan hutan secara meluas dan menetapkan penggunaan bahan itu dalam bahan bakar mampan perlu dihentikan menjelang 2030.

Bercakap di sebuah forum minyak kelapa sawit, Encik Luhut Pandjaitan, menteri penyelaras maritim dan sumber sekitar, berkata bahawa EU "tidak seharusnya meremehkan (keupayaan) Indonesia". Beliau berikrar bahawa pemerintahnya akan mempertahankan kepentingan negara secara tegas.

Penanaman kelapa sawit seringkali dipersalahkan kerana menyebabkan penebangan habitat haiwan terpelihara seperti orang utan dan harimau Sumatera.

Pemerintah Indonesia bagaimanapun bertegas kelapa sawit memerlukan bidang tanah yang lebih kecil untuk menghasilkan minyak berbanding dengan tanaman lain seperti kacang soya dan sesawi.

"Jika AS dan Brazil boleh tinggalkan perjanjian iklim, kita pun patut pertimbangkannya. Mengapa tidak?" kata Encik Luhut.

Di bawah perjanjian iklim Paris, Indonesia berikrar mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau tanpa syarat sebanyak 29 peratus, dan secara bersyarat sebanyak 41 peratus menjelang 2030.

Pada Selasa, pemerintah tersebut menyatakan pihaknya merancang melaksanakan dasar-dasar ekonomi mampan yang berupaya mengurangkan penghasilan gas rumah hijau sambil memacu pertumbuhan ekonomi.

"AS tidak dikenakan sekatan langsung oleh EU (selepas meninggalkan perjanjian Paris)," kata Peter Gontha, kakitangan khas kementerian luar Indonesia.

Beliau menambah Indonesia masih menghadapi tekanan oleh EU berhubung minyak kelapa sawit meskipun pemerintah itu sudah mengumumkan moratorium (penggantungan atau penangguhan) permit bagi estet-estet baru.

Indonesia mendakwa kelapa sawit menghadapi tekanan oleh EU yang sedang cuba melindungi pasaran minyak dari Eropah seperti minyak bunga matahari dan minyak sesawi.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita