Indonesia akan uji cuba teksi udara di Nusantara pada Julai jelang pertunjukan Hari Kemerdekaan
Indonesia akan menguji penggunaan teksi-teksi udara yang pertama di ibu kota baharunya, Nusantara pada Julai ini, menjelang pertunjukan sempena Hari Kemerdekaan pada 17 Ogos.
(Gambar: KARI)
Alat-alat kenderaan itu telah tiba di Balikpapan di Kalimantan Timur, kata Encik Bambang Susantono, ketua Penguasa Bandar Ibu Kota Nusantara (IKN) pada Rabu (29 Mei).
Bateri kenderaan itu juga telah tiba di Jakarta dan akan dihantar ke Samarinda, iaitu sebuah bandar berhampiran di Kalimantan Timur.
Uji cuba akan dijalankan di lapangan terbang Samarinda selama sebulan selepas alat-alat kenderaan itu diperiksa dan dipasang.
Kenderaan itu boleh membawa lima orang, menurut Encik Ali Berawi, setiausaha bagi transformasi digital dan hijau di Penguasa IKN.
Teksi-teksi udara itu merupakan kerjasama antara Institut Kajian Aeroangkasa Korea (KARI) dan syarikat Hyundai Motors.
Penguasa Bandar Ibu Kota Nusantara dan Hyundai memeterai memorandum persefahaman untuk membangunkan ekosistem mobiliti udara yang lebih maju di Indonesia pada 2022.
"Tidak ramai orang di dunia yang berpeluang menaiki teksi udara," kata Encik Bambang.
Media tempatan melaporkan bahawa teksi-teksi udara semakin menjadi satu kenyataan, dengan Indonesia menyertai negara-negara lain seperti Amiriah Arab Bersatu (UAE), Slovakia dan Jepun dalam proses melakukan ujian.
Nusantara dijadual mempunyai teksi udara menjelang tahun 2045.
Selepas uji cuba itu, Hyundai dijangka melakarkan model perniagaan bagi teksi udara menerusi Supernal, iaitu anak syarikatnya di Amerika Syarikat dengan pengkhususan dalam mobiliti udara di bandar.
Ia juga akan membangunkan teknologi penerbangan autonomi untuk kenderaan itu.
ORANG ASLI AKAN BANTU URUSKAN KAWASAN HUTAN
Penguasa IKN juga menyatakan ia akan mengeluarkan dasar bagi mengiktiraf kebijaksanaan dan pengetahuan orang-orang Asli dan melibatkan mereka dalam usaha menguruskan hutan-hutan di Nusantara.
"Kami sedang melakarkan dasar perhutanan masyarakat untuk memastikan kesahihan masyarakat tempatan yang menguruskan kawasan hutan," kata Cik Myrna Safitri, iaitu timbalan bagi sumber sekitaran dan semula jadi di Sidang Antarabangsa bagi Bandar Hutan pada Rabu (29 Mei).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.