Indonesia akan mansuh keistimewaan berkontroversi, gantung tugas Ahli Parlimen cuai susuli tunjuk perasaan
Presiden Indonesia Prabowo Subianto sebelum menyampaikan Amanat Negara menjelang Hari Kemerdekaan di Jakarya pada 15 Ogos 2025. (Gambar fail: Reuters/Ajeng Dinar Ulfiana)
Bantahan antipemerintah secara meluas dan rusuhan berhubung isu seperti kenaikan gaji untuk ahli parlimen dan elaun perumahan menggoncang Indonesia, mengakibatkan sekurang-kurangnya lima kematian dalam beberapa hari kebelakangan ini.
Kemarahan rakyat memuncak selepas keganasan polis menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal Gojek semasa tunjuk perasaan pada Khamis, mendorong orang ramai menyerang balai polis dan bangunan parlimen nasional.
Penunjuk perasaan menjarah rumah pegawai kanan dan membakar bangunan parlimen di beberapa bandar sepanjang hujung minggu.
Encik Prabowo menyampaikan ucapan negara dalam siaran langsung dari Istana Negara di Jakarta Pusat, diiringi oleh pemimpin parti termasuk pengerusi PDI-P Megawati Soekarnoputri.
Beliau mengakui tahap kemarahan rakyat, berikrar untuk bertindak terhadap keistimewaan ahli parlimen, dan berjanji pemerintah akan mendengar tuntutan rakyat sambil mengekalkan undang-undang dan ketenteraman.
Encik Prabowo berkata pemimpin parti “mengambil tindakan tegas” terhadap ahli-ahli parlimen mereka, dengan sekatan akan berkuat kuasa mulai Isnin.
“Kepimpinan Dewan telah menyampaikan bahawa beberapa dasar akan dibatalkan, termasuk jumlah elaun untuk ahli parlimen dan penangguhan terhadap lawatan kerja ke luar negara,” katanya.
Ketua-ketua parti juga bersetuju untuk menarik balik kerusi ahli parlimen yang cuai, dengan Encik Prabowo menekankan bahawa “ahli Dewan mesti sentiasa peka dan berpihak kepada kepentingan rakyat”.
Presiden turut menegaskan bahawa kebebasan bersuara akan dihormati.
“Hak untuk berhimpun secara aman mesti dilindungi,” kata Encik Prabowo.
Namun beliau memberi amaran bahawa keganasan - termasuk penjarahan dan kemusnahan kemudahan - tidak akan diterima.
“Jika terdapat kegiatan anarki yang mengganggu kestabilan negara, merosakkan atau membakar kemudahan awam, menjarah rumah atau institusi, ini merupakan pelanggaran undang-undang. Negara mesti hadir untuk melindungi rakyatnya.”
Encik Prabowo menambah bahawa “tanda-tanda subversif dan keganasan” sudah mula kelihatan dan beliau mengarahkan pihak polis dan tentera “untuk mengambil tindakan paling tegas” terhadap kemusnahan kemudahan awam, penjarahan rumah persendirian dan serangan terhadap pusat ekonomi.
Pada masa yang sama, Encik Prabowo menggesa supaya dialog diadakan, mengarahkan parlimen mempelawa pelajar, tokoh masyarakat dan pemimpin masyarakat sivil untuk menyuarakan aspirasi mereka secara langsung.
“Kami memberi jaminan bahawa suara anda akan didengar dan disusuli dengan tindakan lanjut,” katanya.
Beliau juga merayu supaya rakyat kekal bertenang.
“Saya menyeru rakyat untuk mempercayai pemerintah,” katanya, sambil menambah bahawa semua parti politik komited untuk memperjuangkan kepentingan rakyat, termasuk “golongan paling terpinggir dan kurang bernasib baik.”
Encik Prabowo memberi amaran kepada orang ramai agar tidak terlibat dalam kekacauan dan menasihatkan supaya berhati-hati terhadap kumpulan yang “tidak mahu Indonesia makmur dan bangkit.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.