Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Indonesia akan hentikan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia secara beransur-ansur, kata duta besar

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Indonesia sedang berusaha untuk menghentikan secara beransur-ansur   penghantaran  rakyatnya ke Malaysia untuk bekerja sebagai pembantu rumah, kata duta negara itu ke Malaysia Hermono, lapor Malaysiakini yang memetik beliau sebagai berkata pembantu rumah Indonesia terdedah kepada penderaan dan kerja paksa.

Encik Hermono berkata, pekerja Indonesia sebaliknya akan digalakkan untuk memberi tumpuan kepada sektor pekerjaan formal.

"Kami akan secara beransur-ansur menghentikan penghantaran warga Indonesia yang bekerja sebagai pembantu rumah di mana-mana sahaja di dunia," katanya.

“Ini adalah sebahagian daripada dasar pekerja migran negara kita yang menyasarkan untuk mencapai sifar pembantu rumah menjelang 2017. Namun objektif itu tidak tercapai. Kami akan menghentikannya secara berperingkat-peringkat, bermula di negara yang mana pekerja kami menghadapi pencabulan hak asasi,” katanya.

Indonesia menghentikan penghantaran pembantu rumah ke 18 negara Timur Tengah pada 2015.

Berikutan pelbagai laporan mengenai keadaan kerja yang buruk untuk pekerja buruh dan penderaan ke atas pembantu rumah di Malaysia, kedua-dua negara baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) mengenai pengambilan dan perlindungan pembantu rumah Indonesia di Malaysia.

Ia bagi memastikan  Malaysia mematuhi peruntukan dan proses untuk membantu melindungi pekerja asing mereka daripada menjadi mangsa penderaan.

Encik Hermono berkata ia merupakan detik penting dalam hubungan  kedua-dua negara, mencerminkan kesungguhan dan komitmen Malaysia terhadap MoU itu dan akan digunakan sebagai penanda aras bagi perjanjian dua hala masa depan yang dilaksanakan dengan negara lain seperti Kuwait, Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu dan Brunei. 

“Kami komited untuk memastikan satu MoU dilaksanakan di negara yang undang-undang tempatannya tidak cukup melindungi hak pekerja rumah tangga.

“Dan MoU Malaysia-Indonesia adalah dokumen hak pembantu rumah paling progresif yang kami berjaya lakukan dengan sebuah negara lain,” katanya.

Perjanjian itu meliputi pelbagai langkah perlindungan terhadap pekerja dan majikan termasuk proses yang ketat, kelayakan pendapatan isi rumah minimum RM7,000 (S$2,257), hari rehat mingguan, permohonan e-aduan untuk pekerja, dan faedah kebajikan. Pembantu rumah pula ditetapkan mendapat gaji permulaan   sebanyak RM1,500 (S$483) dan kegagalan berterusan membayar gaji pekerja akan memberi  hak kepada mereka untuk menamatkan kontrak.

Encik Hermono berkata Malaysia perlu mengubah persepsi mereka bahawa khidmat pembantu rumah Indonesia adalah murah, mudah ditipu dan dibuli, dan tidak akan membuat kecoh jika gaji tidak dibayar.

“Kami menetapkan aras baru, dan ia adalah tinggi. Jika majikan mendapati peruntukan dalam MoU itu tidak munasabah atau gaji terlalu tinggi, mereka boleh mengambil pekerja  mereka dari negara lain,” katanya.

Encik Hermono berkata semasa rundingan tersebut, Indonesia telah meminta semua perkara berhubung  penderaan biasa dan  buruh paksa yang dihadapi pembantu rumah Indonesia  ditangani dalam MoU tersebut.

“Pembantu rumah migran di Malaysia berdepan masalah gaji tidak dibayar, bekerja berjam-jam tanpa rehat, gaji ditahan bertahun-tahun, kadang-kadang sehingga 10 hingga 15 tahun.

Beliau berkata peruntukan dalam MoU itu adalah munasabah, mencerminkan garis panduan kerja yang baik dan mengikut piawaian Pertubuhan Buruh Antarabangsa yang mungkin baru kepada majikan Malaysia.

“Memorandum itu tidak menunjukkan bahawa Indonesia meminta terlalu banyak daripada majikan, tetapi ia melindungi hak majikan dan pekerja.

"Tetapi kami tidak boleh membiarkan pekerja kami menjadi hamba di negara lain," katanya.

Sumber : Agensi berita/SU/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan