Skip to main content

Dunia

Indonesia akan bina Kampung Haji di Makkah bagi kurangkan kos ibadah jemaah

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia akan bina Kampung Haji di Makkah bagi kurangkan kos ibadah jemaah

Musim haji di Makkah. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 08 Jan 2026 07:56AM Dikemas Kini : 08 Jan 2026 08:12AM
JAKARTA: Pemerintah Indonesia sedang berusaha menurunkan kos ibadah haji tahunan bagi rakyatnya dengan membina sebuah Kampung Haji khusus di Makkah, menambah jumlah penerbangan serta memendekkan tempoh tinggal jemaah di Arab Saudi, kata pegawai pada Selasa (6 Jan), lapor Agensi Berita ANTARA.

Setiausaha Negara Prasetyo Hadi berkata Presiden Indonesia Prabowo Subianto mengarahkan menteri agar memastikan kos haji dikekalkan serendah mungkin melalui pelbagai langkah dasar bagi meringankan beban kewangan jemaah.

"Matlamat kami adalah untuk menjadikannya semurah mungkin, kerana akhirnya kami mahu mengurangkan kos haji untuk jemaah kami melalui pelbagai pendekatan," katanya kepada pemberita di Hambalang, Bogor, Jawa Barat.

Beliau berkata antara langkah utama adalah pembinaan Kampung Haji yang diuruskan oleh Indonesia, yang akan membolehkan pemerintah menguruskan penginapan dan logistik dengan lebih cekap, katanya.

Beliau berkata Indonesia juga sedang berunding bagi menambah penerbangan untuk mengurangkan tempoh menunggu dan memperbaiki penjadualan semasa musim puncak haji.

Pada masa ini, jemaah haji Indonesia menghabiskan purata kira-kira 41 hari di Arab Saudi.

Pemerintah Indonesia menyasarkan untuk mengurangkan tempoh itu agar lebih hampir kepada purata tempoh tinggal jemaah Malaysia, iaitu kira-kira 31 hari, kata Encik Hadi.

Pemendekan tempoh tinggal itu dijangka dapat mengurangkan dengan ketara kos penginapan dan perbelanjaan sara hidup, yang merupakan komponen besar kos haji yang ditanggung jemaah.

Menteri Agama bagi Hal Ehwal Haji dan Umrah Mochamad Irfan Yusuf berkata Kampung Haji yang dirancang itu akan terletak di kawasan Thakher di Makkah, berhampiran lokasi utama ibadah haji.

Kompleks hotel di kawasan itu akan diuruskan oleh agensi pelaburan milik pemerintah, Danantara, manakala Kementerian Agama akan menggunakan kemudahan itu untuk jemaah haji Indonesia, katanya.

Beliau bagaimanapun berkata Kampung Haji itu tidak akan siap untuk digunakan semasa musim haji 2026.

"Ia berkemungkinan hanya akan mula beroperasi pada 2027," katanya.

Beliau turut memaklumkan yang tiada perubahan dibuat terhadap skim ketibaan jemaah haji Indonesia ketika ini, yang akan terus memasuki Arab Saudi melalui Madinah dan Jeddah.

Ketua Pegawai Eksekutif Danantara Rosan Roeslani berkata pembinaan Kampung Haji itu dijadualkan bermula pada suku keempat 2026.

Bagi musim haji terdekat, beliau berkata aset yang diperoleh di Mekah masih sedang ditinjau oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Indonesia menghantar jemaah haji terbesar di dunia ke Mekah setiap tahun dan peningkatan kos lama menjadi kebimbangan bakal jemaah.

Pegawai berkata gabungan penyediaan perumahan khusus, pengaturan penerbangan yang lebih baik serta tempoh tinggal yang lebih singkat dijangka meningkatkan kecekapan, keselesaan dan kemampuan kos bagi jemaah haji Indonesia pada masa hadapan.
Sumber : Bernama/HA/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita