Skip to main content

Dunia

Indonesia adakan perlawanan semula antara kelab bola sepak terlibat insiden rempuhan di Malang

Perlawanan bola sepak antara kelab Persebaya dengan Arema FC berlangsung tanpa penonton pada Selasa (11 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
JAKARTA: Perlawanan bola sepak antara kelab Persebaya dengan Arema FC berlangsung tanpa penonton pada Selasa (11 Apr).

Ini selepas kali terakhir kedua-dua pasukan itu bertemu pada Oktober 2022, ia berakhir menjadi salah satu insiden rempuhan stadium terburuk di dunia tahun lalu dengan 135 orang terbunuh.

Menurut Pasukan Persebaya di akaun Instagramnya, perlawanan itu dilaksanakan tanpa penonton mengikut permit yang dikeluarkan polis.

Persebaya, yang berada di tempat ketujuh dalam kedudukan Liga 1, menang 1-0 selepas Muhammad Iqbal menjaringkan gol pada minit ke-79.

Manakala Arema yang menduduki tangga ke-11 terlepas tendangan penalti pada minit ke-97.

Seorang jurugambar Reuters di dalam stadium berkata hanya beberapa pegawai media, kelab dan pengawal keselamatan duduk di bangku simpanan menonton perlawanan itu.

Beratus-ratus anggota polis pula diarah untuk berkawal di luar stadium dan sebahagian daripada mereka membawa gas pemedih mata.

Stadium itu terletak berhampiran dengan ibu pejabat pasukan polis negara Indonesia dan dikelilingi oleh akademi polis.

Bercakap selepas perlawanan, pengurus Arema, Joko Susilo, berkata beberapa pemainnya masih trauma dengan rempuhan tahun lalu dan tidak dapat bermain dengan selesa.

Berpuluh-puluh penyokong Persebaya berkumpul di luar stadium semasa perlawanan itu dengan menunggang motosikal dan mengiringi bas yang membawa pemain Persebaya keluar dari stadium.

Arena sukan bola sepak Indonesia bergelut dengan pelbagai isu sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Pada bulan lalu, negara itu dilucutkan haknya untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia bawah 20 tahun selepas kemarahan dalam kalangan ahli politik di negara yang majoritinya beragama Islam mengenai penyertaan Israel.

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kemudian membekukan dana pembangunan yang diperuntukkan untuk persatuan bola sepak negara sebagai sekatan.

Perlawanan Persebaya-Arema sepatutnya berlangsung pada awal Mac tetapi ditangguhkan oleh polis kerana kebimbangan berterusan terhadap persaingan peminat dan isu kawalan orang ramai.

Dalam insiden Oktober tahun lalu, berlaku kejadian rempuhan selepas perlawanan bola sepak di Stadium Kanjuruhan di Malang, Indonesia, yang menyebabkan 125 orang terbunuh, selain mencederakan 320 yang lain.

Pada masa yang sama, polis Indonesia dikecam teruk orang awam kerana mendakwa rempuhan itu berlaku berikutan tindakan anggota keselamatan berkenaan melepaskan gas pemedih mata ke arah orang ramai.

Ia sekali gus mencetuskan rasa cemas dalam kalangan penonton dan rempuhan di salah satu pintu keluar stadium.
Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita