Skip to main content

Dunia

Individu bocorkan pelanggaran SOP daging halal Australia masih gagal dihubungi, dedah Menteri Ehwal Agama M'sia

Anggaran Waktu Membaca:
Individu bocorkan pelanggaran SOP daging halal Australia masih gagal dihubungi, dedah Menteri Ehwal Agama M'sia

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Malaysia, Idris Ahmad.

PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia masih belum dapat menghubungi individu yang mendedahkan apa yang didakwa berlaku pelanggaran prosedur penyembelihan halal di pusat penyembelihan Thomas Foods International Lobethal di Australia, baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad berkata ia penting dalam memastikan segala maklumat berkenaan kes tersebut dapat disalurkan dengan segera, seperti dinukil Astro AWANI.

Bagaimanapun jelasnya, pihaknya sudah menghubungi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) semalam (16 Mei) untuk turut sama membantu bagi menghubungi individu berkenaan.

“Sampai hari ini kita ingin hubungi mereka yang membuat (aduan) itu supaya muncul ke depan. Semalam pun saya sudah menghubungi pihak Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) untuk memberikan nombor dan menghubungi beliau supaya individu ini dapat menghubungi pihak Jakim untuk ceritakan secara terperinci dan telus kepada pihak kita untuk kita ambil tindakan,” katanya kepada Astro AWANI selepas menghadiri Majlis Pelancaran Aplikasi Digital YaPEIM (DiYa) di Putrajaya pagi tadi (17 Mei).

Tambahnya lagi, pihaknya juga sudah menghubungi pegawai pemerintah di Canberra semalam dan mendapati individu berkenaan bukanlah bernama Abdullah seperti yang dimaklumkan sebelum ini.

Pihaknya tidak menolak kemungkinan individu berkenaan menggunakan nama tersebut disebabkan faktor keselamatan terhadapnya.

Kerajaan katanya tidak akan sama sekali berkompromi terhadap SOP penyembelihan haiwan yang akan dieksport masuk ke negara ini, lapor Astro AWANI.

Malah jelasnya, penggantungan yang dikenakan terhadap syarikat terbabit akan diteruskan sehingga siasatan selesai dijalankan sepenuhnya.

Sebelum ini Jakim memaklumkan tindakan untuk menggantung kelulusan loji penyembelihan tersebut berkuat kuasa serta-merta, sehingga hasil siasatan yang menyeluruh diperolehi.

Ia menyusuli pendedahan yang dibuat oleh individu didakwa adalah bekas pekerja di pusat penyembelihan itu yang diiktiraf Jakim sebelum ini.

Lelaki yang mahu dikenali sebagai 'The Hood Man' itu mendakwa diberhentikan kerja dalam tempoh 24 jam, manakala ahli keluarganya turut diugut, menyusuli pendedahan mengenai isu berkenaan.

Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita