Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Individu ada tatu kongsi gelap boleh ditahan di M'sia

Mana-mana individu yang mempunyai tatu atau lambang kumpulan kongsi gelap yang diwartakan haram adalah salah dan boleh ditahan di Malaysia.

Anggaran Waktu Membaca:
Individu ada tatu kongsi gelap boleh ditahan di M'sia

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 24 Feb 2019 09:49PM Dikemas Kini : 24 Feb 2019 09:52PM

KUALA LUMPUR: Mana-mana individu yang mempunyai tatu atau lambang kumpulan kongsi gelap yang diwartakan haram adalah salah dan boleh ditahan di Malaysia.

Demikian menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap Bukit Aman Rohaimi Md Isa.

Beliau menjelaskan sebanyak 72 kumpulan kongsi gelap diwartakan haram oleh Kementerian Dalam Negeri pada 2013 di bawah Akta Pertubuhan 1966 kerana menjalankan kegiatan yang memudaratkan ketenteraman awam di negara ini.

Encik Rohaimi selanjutnya berkata antara kumpulan kongsi gelap yang dikesan masih aktif adalah Sio Sam Ong, Ngo Sek Kee, Geng 360, Geng Double 7, Geng 3 Line dan Geng 36.

"Buat masa ini penggunaan tatu bercorak kongsi gelap yang diwartakan haram dikesan berkurangan namun identiti mereka (anggota kongsi gelap) ini juga dapat dikesan melalui pelekat dan banner tertentu.

"Selain itu, identiti kumpulan kongsi gelap akan jelas dikesan ketika upacara pengebumian atau keramaian," katanya.

Mereka yang memiliki lambang atau tatu kumpulan kongsi gelap akan didakwa mengikut Akta Pertubuhan 1966 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 (S$1,600).

KEGIATAN KONGSI GELAP DI M'SIA

Dalam pada itu, Encik Rohaimi berkata seramai 369 anggota kongsi gelap telah ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dalam tempoh lima tahun bermula 2014.

"Pelaksanaan Op Cantas Khas dengan menggunakan POCA dan Akta Kawalan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2002 memberi kesan yang positif terhadap usaha membanteras kegiatan kongsi gelap," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata tindakan proaktif pemaju dengan menempatkan pengawal keselamatan dan kamera litar tertutup di tapak projek di kawasan bandar menyebabkan kumpulan kongsi gelap beralih melakukan pemerasan di kawasan pinggir bandar.

"Pendekatan positif yang diambil oleh pemaju perumahan membuatkan peluang kumpulan kongsi gelap untuk mengaut keuntungan di dalam kawasan bandar adalah sangat tipis," katanya mengulas faktor kongsi gelap beralih melakukan pemerasan di kawasan pinggir bandar.

Sehubungan itu, Encik Rohaimi meminta orang ramai menyalurkan maklumat berhubung aktiviti pemerasan oleh kumpulan kongsi gelap melalui talian hotline yang diwujudkan di seluruh negara dan memberi jaminan bahawa semua maklumat akan dirahsiakan. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan