Skip to main content

Dunia

IndiGo batal hampir 500 penerbangan di India; New Delhi, Mumbai paling teruk terjejas

IndiGo akan membatalkan kira-kira 500 penerbangan di India pada Jumaat (5 Dis) dengan semua pelepasan dari New Delhi digantung, di tengah-tengah krisis yang semakin meruncing melibatkan syarikat penerbangan terbesar negara itu, yang akur ia gagal membuat perancangan bagi mengambil kira masa tugas penerbangan baharu yang dikenakan ke atas para juruterbang.
Anggaran Waktu Membaca:
IndiGo batal hampir 500 penerbangan di India; New Delhi, Mumbai paling teruk terjejas
Para penumpang menunggu di luar kaunter tiket IndiGo selepas beberapa penerbangan dibatalkan di Terminal 1 Lapangan Terbang Mumbai, India, pada 5 Disember 2025. (Gambar: REUTERS/Francis Mascarenhas)
MUMBAI: IndiGo akan membatalkan kira-kira 500 penerbangan di India pada Jumaat (5 Dis) dengan semua pelepasan dari New Delhi digantung, di tengah-tengah krisis yang semakin meruncing melibatkan syarikat penerbangan terbesar negara itu, yang akur ia gagal membuat perancangan bagi mengambil kira masa tugas penerbangan baharu yang dikenakan ke atas para juruterbang.

Krisis yang memasuki hari keempat itu menggoyah syarikat penerbangan itu, yang menguasai lebih 60 peratus bahagian pasaran dan menyebabkan beribu-ribu penumpang terkandas di seluruh negara itu, menjadikannya cabaran terbesar yang pernah dihadapi syarikat itu.

IndiGo merancang untuk membatalkan 104 penerbangan di Mumbai, 102 di Bengaluru dan 92 di Hyderabad, menurut sumber lapangan terbang yang mengetahui tentang perkembangan tersebut kepada Reuters.

Mereka enggan dikenal pasti kerana tidak diberi kuasa untuk berkongsi maklumat berkenaan.

Lapangan terbang Delhi mengumumkan bahawa semua pelepasan IndiGo dibatalkan untuk hari tersebut, dengan jumlah mencecah 235 penerbangan, menurut satu sumber.

Pada Khamis, IndiGo memberitahu pengawal selia bahawa operasinya akan dipulihkan dengan sepenuhnya menjelang 10 Februari.

Ia turut meminta kelonggaran daripada beberapa peruntukan yang mengehadkan waktu tugas juruterbang pada waktu malam.

IndiGo menyatakan gangguan itu berpunca terutamanya daripada “kesilapan pertimbangan dan jurang perancangan” dalam melaksanakan peraturan tugas juruterbang baharu, yang meningkatkan tempoh rehat wajib mingguan juruterbang sebanyak 12 jam kepada 48 jam, yang berkuat kuasa 1 November.

Selain itu, juruterbang kini hanya dibenarkan melakukan dua pendaratan malam setiap minggu, turun daripada enam di bawah peraturan sebelumnya.

Saham IndiGo jatuh hampir tiga peratus pada Jumaat, menjadikan penurunan mingguannya kepada 10.3 peratus.

Prestasi ketepatan masa IndiGo terus merosot kepada 8.5 peratus pada Khamis, berbanding 19.7 peratus pada Rabu, menurut data pemerintah. Pada Khamis, lebih 250 penerbangan dibatalkan oleh syarikat penerbangan itu, manakala pada Rabu, sekitar 150 penerbangan dibatalkan.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita