Skip to main content

Dunia

India usir pegawai kedutaan Pakistan atas tuduhan risikan

Dua pegawai di Suruhanjaya Tinggi Pakistan di New Delhi diusir kerana "terlibat dalam kegiatan risikan", kata kementerian luar India pada Ahad (31 Mei), satu tuduhan yang disifatkan oleh negara seteru berkuasa nuklearnya itu sebagai "tidak berasas".

Anggaran Waktu Membaca:
India usir pegawai kedutaan Pakistan atas tuduhan risikan

Rakyat Pakistan pada Ogos 2019 mengadakan tunjuk perasaan bagi membantah langkah India terhadap wilayah Kashmir. (Gambar: Asif Hassan/AFP)

Diterbitkan : 01 Jun 2020 09:26AM Dikemas Kini : 01 Jun 2020 09:31AM

NEW DELHI: Dua pegawai di Suruhanjaya Tinggi Pakistan di New Delhi diusir kerana "terlibat dalam kegiatan risikan", kata kementerian luar India pada Ahad (31 Mei), satu tuduhan yang disifatkan oleh negara seteru berkuasa nuklearnya itu sebagai "tidak berasas".

Hubungan sudahpun tegang antara dua negara jiran bermusuhan itu berhubung wilayah Himalaya Kashmir, yang dibahagikan antara mereka pada 1947 ketika mereka mencapai kemerdekaan dari Britain.

"Pemerintah telah mengisytiharkan kedua-dua pegawai ini sebagai orang yang tidak diterima di negara itu lagi atas pelibatan yang tidak sesuai dengan status mereka sebagai anggota misi diplomatik," menurut kementerian luar India dalam satu kenyataan.

Kedua-dua pegawai dikehendaki meninggalkan negara itu "dalam tempoh 24 jam" dan kuasa usaha Pakistan dikenakan "bantahan tegas" berhubung dakwaan kegiatan mereka, tambah kementerian itu.

Kementerian luar Pakistan menyatakan ia "menolak dengan keras tuduhan India yang tidak berasas" dan menyifatkannya sebagai "pencabulan jelas Konvensyen Vienna ... terutama lagi dalam suasana yang sudah pun tercemar".

Kashmir menjadi sumber ketegangan lebih besar dalam hubungan antara dua kuasa wilayah itu setelah New Delhi pada Ogos lalu membatalkan status separa autonomi wilayah majoriti Muslim itu dan melaksanakan perintah berkurung.

Sebagai tindak balas, Islamabad pada waktu itu mengumumkan akan memanggil balik duta besarnya dari Delhi dan menghantar pulang utusan India.

Pada lewat Ahad, Pakistan memanggil kuasa usaha India untuk menyuarakan "kutukan" ke atas arahan pengusiran itu.

India dan Pakistan berperang sebanyak tiga kali sejak kemerdekaan, termasuk dua peperangan bagi merebut wilayah Kashmir yang dituntut kedua-dua pihak.

Ketegangan memuncak baru-baru ini antara dua seteru itu, termasuk pada Februari 2019 apabila kedua-dua negara berbalas serangan udara.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita