Skip to main content

Dunia

India tembak jatuh dron Pakistan

Tentera Udara India menembak jatuh sebuah dron milik tentera Pakistan pada Isnin (4 Mac) yang didapati diterbangkan ke dalam ruang udaranya, menurut laporan media India sedang ketegangan antara kedua-dua negara itu semakin memuncak.

Anggaran Waktu Membaca:
India tembak jatuh dron Pakistan

Pakistan sekali lagi cuba menerbangkan dron ke India, selepas dron pertama ditembak jatuh pada 27 Februari. (Gambar: Aamir Qureshi/AFP)

Diterbitkan : 05 Mar 2019 09:07AM Dikemas Kini : 05 Mar 2019 09:10AM

NEW DELHI: Tentera Udara India menembak jatuh sebuah dron milik tentera Pakistan pada Isnin (4 Mac) yang didapati diterbangkan ke dalam ruang udaranya, menurut laporan media India sedang ketegangan antara kedua-dua negara itu semakin memuncak.

Sebuah jet pejuang Sukhoi-30 milik India menembak jatuh kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) itu menggunakan peluru berpandu dekat Bikaner di wilayah Rajasthan, di bahagian utara India. Kawasan berkenaan terletak berhampiran sempadan Pakistan, menurut sumber-sumber tempatan.

Ini merupakan kali kedua Pakistan cuba menerbangkan sebuah dron ke India dalam tempoh enam hari lalu, selepas dron pertama ditembak jatuh pada 27 Februari, menurut laporan agensi berita Press Trust of India (PTI).

Kedua-dua pihak bagaimanapun tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.

Pada minggu lalu, kedua-dua negara Asia yang bersenjatakan nuklear itu terlibat dalam pertempuran paling sengit yang pernah berlaku sejak bertahun-tahun lalu, selepas satu serangan nekad yang dilancarkan di wilayah Kashmir yang ditadbir India membunuh 40 anggota separa tenteranya.

Sebuah kumpulan militan yang berpangkalan di Pakistan mengaku bertanggungjawab atas serangan pada 14 Februari itu.

Jet-jet milik India kemudian melancarkan serangan ke atas sebuah kem latihan pengganas di Pakistan 12 hari kemudian.

Pada keesokan hari pula, sebuah pesawat milik Pakistan memasuki ruang udara India. Jet-jet milik kedua-dua negara kemudian terlibat dalam satu pertempuran udara, dengan sekurang-kurangnya satu pesawat India ditembak jatuh dan seorang juruterbangnya ditatngkap oleh Pakistan.

Namun, juruterbang itu sudahpun diserahkan kepada India pada Jumaat (1 Mac), dengan Perdana Menteri Pakistan Imran Khan menyifatkan langkah tersebut sebagai "lambang kedamaian" bagi meredakan ketegangan dan keprihatinan antarabangsa.  

Sumber : AFP/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita