Skip to main content

Dunia

India sifatkan letupan New Delhi 'insiden pengganasan'

Anggaran Waktu Membaca:
India sifatkan letupan New Delhi 'insiden pengganasan'
Anggota keselamatan mengawa; berdekatan lokasi letupan kereta pada Isnin, di hadapan Red Fort di Delhi, India pada 12 November 2025. (Gambar: REUTERS/Adnan Abidi)
NEW DELHI: Pemerintah India mengesahkan pada Rabu (12 Nov) bahawa ia menyifatkan letupan kereta yang mengorbankan 12 orang dan mencederakan sekurang-kurangnya 20 yang lain di Delhi sebagai "insiden pengganasan" dan berikrar untuk membawa pelaku-pelaku ke muka pengadilan secepat mungkin.

Kabinet Perdana Menteri Narendra Modi berkata: "Negara ini telah menyaksikan insiden pengganasan yang kejam, dilakukan oleh kuasa-kuasa yang menentang negara ini, melalui letupan kereta berhampiran Red Fort pada petang 10 November 2025. Letupan itu mengakibatkan beberapa kematian dan mencederakan sebilangan orang lain.

"Kabinet menyampaikan penghormatan kepada mangsa-mangsa tindakan keganasan yang tidak masuk akal ini dan menyampaikan ucapan takziah yang tulus kepada keluarga-keluarga yang sedang berduka."

"Kabinet mengarahkan agar siasatan ke atas insiden ini dijalankan dengan segera dan profesional supaya pelaku-pelaku, rakan sejenayah dan penaja mereka dapat dikenal pasti dan dibawa ke muka pengadilan tanpa berlengah lagi," tambahnya.

Sebelum ini, tiga sumber yang mengetahui mengenai siasatan kejadian itu berkata polis sedang memeriksa sama ada terdapat kaitan antara letupan itu dengan penangkapan sekumpulan tujuh lelaki dari wilayah Kashmir sebelum itu yang ditemui dengan senjata dan bahan buatan bom.

Letupan pada petang Isnin di luar Red Fort yang bersejarah di Delhi adalah letupan pertama seumpamanya di bandar dengan lebih 30 juta penduduk, yang dikawal ketat sejak 2011.

Pihak berkuasa India sedang menyiasat letupan itu di bawah undang-undang antipengganasan yang ketat dan menyatakan bahawa semua sudut sedang disiasat.

Mereka tidak menamakan sesiapa atau membuat sebarang tangkapan berkaitan letupan itu.

Amerika Syarikat menawarkan bantuan kepada India untuk menyiasat letupan itu, kata Setiausaha Negara Amerika Marco Rubio.

Menyusuli letupan di Delhi, polis Kashmir sudahpun menjalankan serbuan di beratus-ratus lokasi di wilayah Himalaya dan sekitar 500 orang ditahan, kata sumber polis Kashmir kepada Reuters.

Sebilangan besar dibebaskan selepas disoal siasat, kata sumber itu.
Sumber : Reuters/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita