Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

India siasat 'kemungkinan serangan dron' di pangkalan udara Jammu

India sedang menyiasat kemungkinan serangan dron di salah sebuah pangkalan udara di wilayah utara negara itu yang bergolak, kata para pegawai pada Ahad (27 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
India siasat 'kemungkinan serangan dron' di pangkalan udara Jammu

Kawasan di luar Stesen Tentera Udara Jammu, India (Gambar: AFP/Rakesh Bakshi)

Diterbitkan : 28 Jun 2021 10:37AM Dikemas Kini : 28 Jun 2021 11:03AM

NEW DELHI: India sedang menyiasat kemungkinan serangan dron di salah sebuah pangkalan udara di wilayah utara negara itu yang bergolak, kata para pegawai pada Ahad (27 Jun).

Menurut para pakar serangan sedemikian mungkin yang pertama di negara yang luas itu dan menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan di kemudahan-kemudahan ketenteraan.

"Dua letupan intensiti rendah dilaporkan pada awal pagi Ahad di kawasan teknikal Stesen Tentera Udara Jammu. Satu menyebabkan kerosakan kecil pada bumbung bangunan sementara yang satu lagi meletup di kawasan terbuka," menurut catatan Twitter Tentera Udara India.

"Tidak ada kerosakan pada sebarang peralatan. Siasatan sedang dijalankan bersama dengan agensi awam."

Ketua Pengarah Polis Jammu dan Kashmir, Dilbagh Singh, berkata dalam satu kenyataan bahawa "dron yang membawa muatan" disyaki telah digunakan untuk "melepaskan bahan letupan".

Beliau menyifatkan kejadian itu sebagai "serangan pengganasan," dalam satu wawancara dengan Press Trust of India.

Akhbar Indian Express melaporkan bahawa dua orang telah ditangkap setakat ini berhubung kejadian itu, sementara dua orang di pangkalan udara itu mengalami cedera ringan.

Satu pasukan dari pasukan bertindak anti-pengganasan India, Agensi Penyiasatan Nasional, sudah tiba di Jammu untuk menyiasat kejadian itu, kata seorang pegawai kepada AFP.

Leftenan Jeneral bersara DS Hooda, yang mengetuai Komand Utara India hingga 2016, berkata sistem radar tentera negara itu boleh mengesan ancaman seperti pesawat dan kenderaan kawalan jauh yang lebih besar - namun mungkin tidak dapat mengesan dron.

"Kita perlu memantau kegiatan dron dengan serius dan mendapatkan sistem anti-dron secepat mungkin."

Insiden dron pada Ahad itu berlaku tiga hari selepas Perdana Menteri India, Narendra Modi, mengadakan pertemuan kali pertama dengan pemimpin Kashmir sejak status separa autonomi wilayah Jammu-Kashmir dibatalkan pada 2019.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan