India rampas 1 tan ketamin dari bot Myanmar; 6 anak kapal diberkas
Pasukan pengawal pantai India memberkas enam lelaki Myanmar dan merampas dadah ketamin bernilai AS$42 juta (S$57 juta) setelah melihat kapal yang mencurigakan di Lautan Hindi berhampiran Kepulauan Nicobar.

Para pegawai India merampas lebih satu tan dadah ketamin sintetik daripada bot Myanmar berdekatan pulau Andaman. (Gambmar: AFP)
NEW DELHI: Pasukan pengawal pantai India memberkas enam lelaki Myanmar dan merampas dadah ketamin bernilai AS$42 juta (S$57 juta) setelah melihat kapal yang mencurigakan di Lautan Hindi berhampiran Kepulauan Nicobar.
Rampasan dadah seberat 1,160 kilogram itu dilakukan selepas pesawat pengawal pantai mengesan sebuah bot yang dimatikan lampunya pada Rabu (18 Sep) di Zon Ekonomi Eksklusif India. Demikian menurut kenyataan Kementerian Pertahanan.
Anak kapal bot itu tidak memberikan respons kepada arahan pihak berkuasa dan pengawal pantai berkenaan kemudian menaikinya, dengan para pegawai menemui "57 bungkusan bahan mencurigakan" pada Jumaat (20 Sep).
"Analisis awal mendedahkan bahan mencurigakan itu adalah ketamin dan terdapat 1,160 paket seberat 1 kilogram setiap satu di atas kapal itu," tambah kementerian tersebut.
Enam lelaki Myanmar dan kargo itu dibawa ke Pelabuhan Blair, ibu kota Kepulauan Nicobar di Andaman, di mana mereka disoal siasat oleh para penyiasat.
Menurut kenyataan itu, para suspek mendakwa mereka meninggalkan Myanmar pada 14 September lalu dan dijadual bertemu dengan satu lagi bot "beroperasi berhampiran sempadan maritim Thailand-Malaysia" pada Sabtu.
Kepulauan Nicobar terletak berhampiran Asia Tenggara, di perairan Myanmar.
Beberapa bahagian Myanmar, Loas dan Thailand terletak dalam zon 'Segi Tiga Emas' iaitu kawasan pengeluaran dadah yang diharamkan di Asia, yang kedua terbesar di dunia selepas Amerika Latin.
Sejumlah besar dadah seperti heroin dan methamphetamin dihasilkan di makmal-makmal dalam hutan terpencil setiap tahun dan diseludup ke seluruh Asia dan rantau menjangkauinya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.