Skip to main content

Dunia

India pindahkan puluhan ribu penduduk; Taufan Montha dijangka membadai

Anggaran Waktu Membaca:
India pindahkan puluhan ribu penduduk; Taufan Montha dijangka membadai

Penduduk berlindung di bawah payung semasa hujan lebat di Chennai pada 22 Oktober 2025, berikutan amaran taufan oleh Jabatan Meteorologi India (IMD). (Gambar fail: R Satish Babu/AFP)

Diterbitkan : 27 Oct 2025 05:24PM Dikemas Kini : 27 Oct 2025 05:29PM
HYDERABAD: India memindahkan 50,000 penduduk ke kem bantuan pada Isnin (27 Okt) sedang ia memulakan usaha tersebut sehari sebelum Taufan Montha, yang semakin kuat di Teluk Bengal, dijangka membawa angin kencang dan hujan lebat ke pantai timurnya, menurut pegawai.

Pihak berkuasa membatalkan cuti untuk kakitangan kecemasan dan mengarahkan sekolah dan kolej ditutup di kawasan pantai wilayah selatan Andhra Pradesh dan wilayah timur Odisha yang diramalkan akan dilanda cuaca buruk.

Taufan itu berkemungkinan bertukar menjadi ribut dahsyat menjelang Selasa, sebelum melanda pantai Andhra Pradesh lewat hari itu, menurut Jabatan Meteorologi India (IMD).

"Pemindahan penduduk dari kawasan berhampiran pantai di daerah Kakinada sudah pun bermula," kata seorang pegawai pengurusan bencana di Andhra Pradesh kepada Reuters.

Hampir 50,000 penduduk dipindahkan ke kem bantuan, menurut laporan pemerintah.

Pasukan bencana dikerahkan untuk memindahkan keluarga dari kawasan rendah di Andhra Pradesh, di mana pemerintah menjangkakan 3.9 juta penduduk bakal terjejas.

Nelayan di wilayah berhampiran, Odisha, turut diberi amaran untuk mengelakkan perjalanan ke laut.

Taufan sering melanda pantai timur India antara April dan Disember.

Taufan yang mengorbankan hampir 10,000 orang apabila ia melanda Odisha pada Oktober 1999 kekal sebagai salah satu bencana alam paling dahsyat di negara itu.

Pihak berkuasa di wilayah selatan Tamil Nadu menggesa orang ramai supaya berwaspada berikutan ramalan hujan lebat hingga sangat lebat di beberapa daerah.

Chennai, ibu kota Tamil Nadu, mudah terdedah kepada banjir semasa hujan lebat, seperti yang dicetus oleh Taufan Michaung pada 2023.

Di Nepal pula, pihak berkuasa bencana memberi amaran tentang kemungkinan hujan dan salji dari Selasa hingga Jumaat dan menasihati pendaki supaya berwaspada.

Banjir dan tanah runtuh yang dicetuskan oleh hujan lebat di seluruh Nepal mengorbankan 53 orang bulan ini.
Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita