Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

India luluskan vaksin COVID-19 tempatan dan AstraZeneca, mula agih beberapa minggu lagi

Pihak berkuasa ubat-ubatan India pada Ahad (3 Jan) memberi kelulusan muktamad bagi penggunaan darurat dua vaksin COVID-19. Satu daripadanya adalah yang dihasilkan oleh AstraZeneca dan Universiti Oxford, manakala satu lagi adalah keluaran syarikat tempatan Bharat Biotech.

Anggaran Waktu Membaca:
India luluskan vaksin COVID-19 tempatan dan AstraZeneca, mula agih beberapa minggu lagi

Pekerja kesihatan kendalikan ujian COVID-19 ke atas penduduk di pinggir Mumbai, India pada 9 Dis 2020 (Gambar: REUTERS/Francis Mascarenhas)

Diterbitkan : 03 Jan 2021 06:53PM Dikemas Kini : 03 Jan 2021 06:55PM

NEW Delhi: Pihak berkuasa ubat-ubatan India pada Ahad (3 Jan) memberi kelulusan muktamad bagi penggunaan darurat dua vaksin COVID-19. Satu daripadanya adalah yang dihasilkan oleh AstraZeneca dan Universiti Oxford, manakala satu lagi adalah keluaran syarikat tempatan Bharat Biotech.

Pemerintah India merancang memulakan program suntikan vaksin COVID-19 dalam masa beberapa hari lagi.

Program suntikan di India kelak adalah salah satu yang terbesar di dunia dengan 1.3 bilion penduduk India akan diberi suntikan vaksin COVID-19.

Ini bermakna lebih dua bilion dos vaksin perlu diedarkan.

Pakar-pakar mengatakan program suntikan dua dos setiap orang itu mungkin mengambil masa tiga tahun untuk selesai.

Pemerintah melakukan latihan gerakan suntikan besar-besaran itu di beberapa wilayah sejak minggu lalu.

Ia bertujuan mengelakkan berlaku kesesakan di tempat-tempat suntikan dan mengenal pasti masalah yang mungkin timbul dalam proses menghantar vaksin.

Jumlah kes COVID-19 di India yang mencecah lebih 10 juta adalah yang kedua tertinggi di dunia selepas Amerika Syarikat.

Kadar jangkitannya bagaimanapun mula berkurangan dengan banyak sejak pertengahan September lalu.

VARIAN BARU COVID-19 BERJAYA DIASINGKAN, DIBIAKKAN

Dalam pada itu, badan perubatan tertinggi India menyatakan negaranya berjaya mengasingkan dan melakukan proses pembiakan jenis baru virus COVID-19 yang dikesan di United Kingdom.

Badan tersebut menyatakan India adalah negara pertama yang melakukan demikian. Para saintis menggunakan spesimen klinikal para pelawat dari United Kingdom yang dijangkiti virus varian baru itu.

Sel-sel tersebut kemudian dibiarkan membiak dalam keadaan terkawal di dalam makmal.

Pembiakan itu dilakukan untuk memahami virus tersebut dan membantu dalam pengesahan dan rawatan.

India sejauh ini melaporkan sekitar 30 jangkitan jenis baru virus COVID-19 di negara itu.  

Sumber : Agensi berita/MU/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan