Skip to main content

Dunia

India laksana sekatan antipencemaran paling ketat susuli jerebu teruk New Delhi

India melaksanakan sekatan antipencemaran paling ketat di ibu negaranya, Delhi, pada Ahad (14 Dis), berikutan jerebu tebal yang terus menyelubungi bandar raya itu, sekali gus meningkatkan krisis kesihatan awam, lapor BH Online.
Anggaran Waktu Membaca:
India laksana sekatan antipencemaran paling ketat susuli jerebu teruk New Delhi
Pencemaran udara di New Delhi sering memuncak pada musim sejuk. (Gambar: AFP)
NEW DELHI: India melaksanakan sekatan antipencemaran paling ketat di ibu negaranya, Delhi, pada Ahad (14 Dis), berikutan jerebu tebal yang terus menyelubungi bandar raya itu, sekali gus meningkatkan krisis kesihatan awam, lapor BH Online.

Suruhanjaya Pengurusan Mutu Udara Kementerian Alam Sekitar India mengaktifkan peringkat empat iaitu tahap tertinggi bagi Pelan Tindakan Respons Berperingkat bagi New Delhi dan kawasan sekitarnya, pada petang Jumaat.

Langkah kecemasan itu merangkumi menggantung semua pembinaan tidak penting, menutup operasi menghancurkan batu dan perlombongan, serta melarang kemasukan trak ke wilayah ibu negara.

Pihak berkuasa juga menasihatkan sekolah-sekolah untuk beralih kepada sesi online dan menggalak kakitangan sektor swasta untuk bekerja dari rumah bagi mengurangkan pendedahan kepada udara tercemar.

Langkah itu dilaksanakan ketika Indeks Mutu Udara (AQI) New Delhi yang didiami 30 juta penduduk, melonjak ke paras 'teruk', iaitu antara 450 hingga 500, jauh melebihi paras selamat, lapor BH Online.

Pencemaran udara di New Delhi sering memuncak pada musim sejuk atas faktor-faktor seperti pembakaran sisa tanaman di negeri jiran, pelepasan asap kenderaan dan pembakaran sampah, yang terperangkap dalam suhu lebih rendah dan angin perlahan.

Bandar raya itu juga tidak pernah mencatat walau satu hari 'udara bersih' sepanjang tahun ini, dengan bacaan Indeks Mutu Udara (AQI) kekal tinggi melebihi skor 50.

Menurut Arab News, skala AQI diukur dari 0 hingga 500 dengan kualiti udara baik adalah pada paras di bawah 50, manakala paras berbahaya, jika skor melebihi 300.

Keadaan jerebu di New Delhi semakin memburuk sejak penghujung Oktober, dengan rekod rasmi sepanjang hujung minggu berada dalam julat teruk iaitu 400 hingga 500.

Pemantau persendirian di beberapa bahagian utara dan barat laut Delhi merekodkan lonjakan AQI melebihi 550 malah, bacaannya mencecah 700 mengikut masa nyata.

Penduduk, Nabanita Nayak, memutuskan anak remajanya hanya mengikuti sesi pembelajaran sekolah secara online, walaupun bimbang terhadap ketagihan skrin.

"Keadaannya terlalu teruk di Delhi sehingga kami tiada pilihan selain memaksa anak-anak mengikuti kelas online. Pemerintah mengecewakan kami kerana tidak melakukan apa-apa untuk menangani isu ini.

"Jika kanak-kanak terlalu lama di hadapan komputer riba, itu juga satu masalah. Sebagai seorang ibu, saya bimbang, " katanya.

Pencemaran di New Delhi semakin memburuk sejak sambutan Deepavali pada akhir Oktober lalu, apabila purata AQI melebihi 370, lapor BH Online.

Sejak pertengahan November, bacaannya melebihi 400, bermaksud kualiti udara 'teruk' dengan beberapa kawasan mencatat kadar 500 ke atas, yang diklasifikasikan sebagai tahap 'berbahaya'.

"Saya tidak berasa bangga tinggal di Delhi. Ia ibu negara India … kita bercakap mengenai menjadi negara maju menjelang 2047," kata seorang penduduk, Jagriti Arora, yang memutuskan anak perempuannya berusia tujuh tahun kekal berada di rumah bagi mengelakkan alahan yang tercetus akibat pencemaran udara.

"Pemerintah perlu melakukan sesuatu … China pernah menghadapi masalah besar dengan pencemaran, tetapi kini mereka berjaya menurunkannya, " kata beliau.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita